Rencana

Sabah untuk orang Sabah? Oleh Izmil Amri

SAYA belum pernah jejak kaki ke Sabah. Apa yang saya tahu tentang Sabah adalah hasil dari pembacaan dan pergaulan dengan orang yang arif tentang negeri Sabah. Maka mudahnya saya tidak tahu banyak tentang Sabah, sama seperti anda juga yang bukanlah tahu banyak tentang negeri itu. Anda rasa macam tahu banyak tetapi sebenarnya tidak.

Adalah lebih mudah sebenarnya untuk kita semua diam dan mendengar, daripada cuba bersuara tentang perkara yang kita tidak faham. Kita juga yang akan kelihatan bodoh.

Namun demi segala yang benar, bersuara tentang Sabah adalah tanggungjawab yang mesti dilakukan.

Justeru sebagai permulaan, saya harus meminta maaf kerana telah menyebut Sabah itu sebagai sebuah negeri. Saya mana lah tahu rupa-rupanya Sabah adalah sebuah negara. Sama halnya dengan Sarawak.

Anda mungkin keliru dengan apa yang saya sebutkan ini. Mari saya cerahkan.

Pada tahun 1957, bulan Ogos hari ke 31, sebuah negara di Asia Tenggara telah diisytiharkan bebas daripada menumpahkan taat setia kepada Ratu England. Namanya Malaya, hasil gabungan negeri-negeri yang bersekutu dan tidak bersekutu serta dua daripada negeri-negeri selat kecuali Singapura.

Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan lahir daripada gabungan Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura kemudiannya merdeka sekali lagi setelah ‘meninggalkan’ Persekutuan Malaysia pada tahun 1965.

Maka mudahnya Malaysia pada tahun 1963 adalah persekutuan hasilan empat buah negara, yang setiap satunya menyertai persekutuan dengan hak dan kelebihan yang tersendiri. Itu antara sebabnya kenapa pihak eksekutif Sabah dan Sarawak dibahasakan sebagai menteri dan bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) seperti di negeri-negeri di Semenanjung.

Itu juga sebabnya kenapa undang-undang imigresen Malaysia Borneo sedikit berbeza, dan anda memerlukan paspot untuk masuk ke sana. Macam masuk Singapura juga kaedahnya, kerana itu secara teknikalnya bukanlah negara anda. Boleh ikut setakat ini?

Kedaulatan Sabah
Sebagai sebuah ‘negara anggota’ dalam Persekutuan Malaysia, adalah amat menyedihkan apabila fakta menunjukkan bahawa Sabah mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi.

Erna Mahyuni dalam tulisannya di The Malaysian Insider melaporkan bahawa pekan Nabawan di Sabah itu adalah pekan termiskin di dalam negara, dengan kadar kemiskinan setinggi 70 peratus. Saya sangkakan Kelantan negeri paling miskin. Berkesan betul propaganda UMNO ke atas saya.

Tulisan Erna itu lah yang buat saya terdiam sejenak dan betul-betul memikirkan tentang Sabah yang tidak pernah saya jejaki itu.

Menyulap kekayaan rakyat Sabah

Anda juga mungkin menyedari bahawa industri pelancongan negara adalah terjual dengan modal yang datang dari Malaysia Borneo. Sabah terutamanya menyumbang ikon Gunung Kinabalu dan populariti Sipadan serta segala tarikan yang menjadi sandaran kepada ‘betapa Asia-nya’ Malaysia ini.

Ini di samping ikonologi sumbangan Kelantan dan Sarawak, setiap satunya dengan wau bulan, burung enggang, serta tarian-tarian dan tradisi-tradisi yang tidak ada di Kuala Lumpur yang hanya ada tradisi membeli belah dan kesesakan lalulintas.

Maka, ya; Malaysia menjual ikon Sabah, Sarawak dan Kelantan (antara lain) sebagai pusat pelancongan untuk sekalian mat saleh yang menyampah dengan cuaca sejuk. Kebetulan, ketiga-tiganya negeri miskin. Satu daripadanya sudah puluhan tahun ditadbir PAS. Senang betul jadi kerajaan Barisan Nasional ini. Jual populariti negeri-negeri miskin, rompak pula harta kekayaannya, royalti minyaknya juga tak diberi.

Berbalik kepada Sabah.

Pada tahun 1970-an, Sabah berada di kedudukan kedua, di belakang Selangor (dan Kuala Lumpur) sebagai negeri paling kaya di Malaysia. 30 tahun kemudian, Sabah adalah negeri paling miskin dengan pertumbuhan KDNK sebanyak 2.4 peratus sahaja, di bawah Kelantan.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, bukan sahaja pertumbuhannya kecil, kos sara hidup di Sabah juga amat tinggi bahkan kian meningkat gara-gara polisi kabotaj yang secara langsung meningkatkan harga barang lantaran syarikat perkapalan mengenakan caj tinggi untuk penghantaran barang.

Itu belum dikira royalti petroleum sekadar 5%. Brunei masih ketawa barangkali dengan nasib Sabah yang menerima royalti ciput sedangkan sumbangannya besar sekali..

Malang yang berlarutan

Barisan Nasional selesa di Sabah disebabkan beberapa faktor termasuk kemasukan pendatang asing secara pukal yang kemudiannya diberi kerakyatan sepertimana yang telah diakui oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Sudahlah rakyat asal terbiar miskin melarat, dibenarkan pula warganegara asing masuk dan diberi kerakyatan sesuka hati demi kemandirian politik pihak-pihak tertentu. Inilah dia dosa besar Barisan Nasional terhadap Sabah secara khusus yang pastinya tidak akan dapat diampunkan sampai bila-bila.

Dalam satu persidangan politisi muda di Manila dua tahun sudah, saya bertemu beberapa politisi muda Filipina menceritakan kisah rakyatnya yang berulang-alik ke Sabah seakan-akan negeri itu sebuah hotel. Mereka bebas masuk keluar mencari rezeki dan kemudian pulang ke Filipina dengan duit berkoyan-koyan, kebanyakannya dengan meniaga rokok seludup.

Sekotak Marlboro di Filipina harganya baru RM2.90. Jual di Malaysia mesti RM10. Cukup untung setahun, sudah boleh bikin rumah batu tiga tingkat. Itu belum dikira imbuhan tolong mengundi Barisan Nasional dalam pilihanraya. Itu juga fakta popular di kalangan politisi Filipina yang saya sendiri tidak begitu arif waktu itu.

Barangkali Barisan Nasional di Sabah dan ketaatannya kepada pimpinan di Putrajaya sudah tidak lagi peduli dan merasakan adalah ‘okay’ untuk rakyat negeri itu dilayan seolah-olah warganegara kelas rendah dikeranakan keterasingannya dan ketidakfahaman Putrajaya ke atas kehendak dan keperluan masyarakat Sabah secara khusus.

Sabah tidak perlu 1Malaysia. Sabah sudah lebih dahulu makmur dengan persefahaman dan toleransi antara kaum tanpa memerlukan simbol 1Malaysia. Yang lebih penting ialah ia sudah cukup menderita di bawah tadbir Barisan Nasional untuk jangkamasa yang terlalu lama dan melampaui had sabar. Sabah tidak lagi mampu untuk duduk angguk dan menerima penindasan berterusan secara berlapang dada.

Suruhanjaya DiRaja hanya kini membongkar hakikat-hakikat yang sudah lama menjadi rahsia terbuka di kalangan orang Sabah.

Militan bersenjata yang singgah berdiam di Lahad Datu juga tidak menerima layanan sepak terajang seperti yang dialami demonstran di perhimpunan Bersih.

Angin perubahan sudah semakin menderu-deru di Sabah; meski politisi Barisan Nasional negeri itu sampai kiamat tidak akan mahu mengaku. Orang Sabah tidaklah bodoh seperti yang mereka sangkakan.

Semoga satu hari nanti saya akan dapat menjejak kaki ke negeri Sabah yang bersih dari jelaga Barisan Nasional. Ini kali-lah! – Roketkini.com