Berita

Serah Kementerian Pertahanan selesai isu pencerobohan di Lahad Datu bukannya Wisma Putra: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sepatutnya menyerahkan isu pencerobohan tentera Sulu, di Lahad Datu, Sabah kepada Kementerian Pertahanan bukannya kepada Wisma Putra.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, situasi pencerobohan 150 tentera Sulu, Filipina, di Lahad Datu itu semakin menimbulkan banyak masalah dan sewajarkan perkara itu diselesaikan segera Kementerian Pertahanan.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri akan menyerah kepada Wisma Putra untuk membuat keputusan berhubung permohonan kerajaan Filipina supaya melanjutkan masa bagi pengusiran kumpulan penceroboh di Lahad Datu itu.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh terlalu berlembut dan berkompromi dengan memberi masa panjang kepada penceroboh berkenaan kerana situasi itu mampu mengancam kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurut Kit Siang, tindakan Menteri Dalam Negeri itu tidak senada dengan kemahuan majoriti rakyat Sabah dan Malaysia yang merasakan kedaulatan dan keselamatan negara tidak boleh berkompromi dengan pencerobohan 150 tentera Sulu di Kampong Tanduo dalam Felda Sahabat, Lahad Datu sejak 9 Februari lalu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau menyerahkan kepada Hishammuddin dan pihak polis menguruskan situasi penceroboh Sulu bukannya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan tenteranya.

“Siapa pula yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kelompongan kawalan keselamatan sehingga memudahkan penceroboh itu memasuki perairan negara yang sudah masuk minggu ketiga itu sehingga mengancam kedaulatan dan keselamatan negara sedangkan pemimpin berbangga bahawa Malaysia adalah negara paling selamat di Asia Tenggara.

“Saya sedih dan malu apabila selama dua minggu, rakyat Sabah dan Malaysia terpaksa mencari di internet untuk mengetahui keadaan yang berlaku di Lahad Datu daripada media Filipina kerana terdapat sekatan maklumat yang serius terhadap isu itu di media Malaysia, ini satu lagi reputasi buruk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau mahu Perdana Menteri menghentikan sekatan maklumat mengenai situasi di Kampung Tanduo daripada media, sepatutnya kerajaan memberitahu rakyat Sabah dan Malaysia apa sebenarnya yang terjadi di kampung itu.- Roketkini.com