Berita

UMNO makin panik bila Melayu makin terima DAP – Dr Ariffin Omar

GEORGE TOWN, 1 MAC: Komitmen tinggi DAP menghormati dan mengangkat martabat Islam sebagai agama Persekutuan adalah antara sebab parti itu terus dicemburui dan difitnah dengan pelbagai dakwaan jahat UMNO-Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Naib Presiden DAP, Senator Dr Ariffin Omar menempelak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mendakwa sokongan dan undi kepada DAP akan menyebabkan Islam ditekan.

“Dakwaan Najib itu jelas menunjukkan UMNO tidak ada modal lain dan panik dengan peningkatan sokongan orang Melayu kepada DAP.

“Orang Melayu dilihat semakin menyokong DAP kerana sedar tindakan DAP sebelum ini tidak seperti yang didakwa UMNO. Bukan itu saja, DAP juga membuktikan ia sangat komited dalam membanteras korupsi, mempertahankan demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan” katanya dalam satu kenyataan.

menurut Dr Ariffin , apa yang dilakukan di Pulau Pinang kini adalah bukti kukuh DAP-Pakatan Rakyat (PR) mengangkat martabat Islam dan sepatutnya tidak ada isu mengenai Melayu dan Islam patut ditimbulkan lagi.

“Selain pemberian peruntukan yang berkali-kali ganda lebih besar kepada pembangunan agama Islam, kerajaan Pulau pinang juga memberi peruntukan untuk membina sebuah Mahkamah Syariah di Pulau Pinang yang menelan belanja kira-kira RM80 juta.

“Kerajaan negeri juga meningkatkan pemberian elaun kepada imam dan sekolah agama rakyat di mana ia jauh bezanya ketika BN,” ujar beliau.

Justeru, dakwaan bahawa DAP menindas Islam adalah jauh menyimpang  daripada fakta sebenar dan bersifat fitnah semata-mata untuk menimbulkan kebencian antara kaum dan agama. -Roketkini.com