Berita

Lahad Datu: Elak spekulasi liar, beri solidariti kepada negara

TAWAU, 4 FEB: Teori konspirasi tanpa bukti kukuh menuduh ada pemimpin oposisi bersubahat dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu adalah satu dakwaan yang tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, pihak yang bertanggungjawab harus mendedahkan maklumat yang tepat dan telus kepada orang ramai supaya apa sahaja spekulasi liar yang timbul dapat dihentikan segera,

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Chan Foong Hin, berkata spekulasi liar cuma akan mengeruhkan keadaan dan mampu mencetuskan situasi panik.

Untuk itu, beliau mahu semua pihak mengetepikan kepentingan peribadi masing-masing dan memberi solidariti kepada negara yang sedang bergelut dengan krisis keselamatan itu.

“Daripada terus menuduh dan menyalahkan satu sama lain, satu sidang tergempar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah perlu diadakan segera untuk membincangkan insiden yang mengorbankan nyawa pasukan keselamatan seperti yang dicadangkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Kami juga berharap supaya lebih ramai anggota tentera dihantar ke sana untuk berkawal bagi menjamin keselamatan kepada rakyat dan negara,” katanya.-Roketkini.com