Berita

Lim Kit Siang dipelawa bertanding di Johor

JOHOR BAHRU, 7 MAC:  Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng  Hau, telah menjemput pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang, untuk bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Pelawaan itu disahkan oleh Kit Siang sendiri, di sini, semalam.

Kit Siang sekarang adalah Ahli Parlimen Ipoh Timur sejak PRU 2004. Sebagai pemimpin veteran yang berjuang dan banyak berkorban untuk parti, beliau telah bertanding di banyak tempat dalam usaha mengembangkan pengaruh parti serta perjuangan demokratik dan hak asasi manusia.

Bercakap kepada pemberita sewaktu melawat kawasan Gelang Patah untuk mengedarkan Manifesto Pakatan Rakyat kepada penduduk tempatan di sini, beliau berterima kasih kepada Dr Boo tetapi menjelaskan bahawa beliau perlu meneliti pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan.

Ditanya mengenai spekulasi bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Gelang Patah di sini, Kit Siang berkata, urusan pembahagian kerusi sudah di peringkat akhir tetapi beliau belum bersedia untuk mendedahkan butir-butirnya.

Menurutnya, cara perbincangan kerusi berbeza di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kerana ketiga-tiga komponen Pakatan – PAS, PKR dan DAP – bertaraf rakan kongsi setaraf, sebaliknya BN berada di bawah telunjuk UMNO.

“Keputusan dalam Pakatan dilakukan oleh ketiga-tiga parti. Ini jelas berbeza dengan budaya BN bahawa UMNO merupakan satu-satunya parti yang boleh membuat keputusan muktamad untuk BN,” ujarnya. – Roketkini.com