Berita

Najib kini hanya PM tidak rasmi – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Sanggupkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima konsep dan kebiasaan sebuah kerajaan tidak rasmi (caretaker) untuk pentadbiran harian kerajaan yang sudah luput tempoh Parlimennya, paling ketara antara pembubaran Parlimen dan pembentukan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, itu adalah antara tiga soalan yang akan dikemukakan kepada Najib sempena ulangtahun kelima Parlimen ke-12 pada 8 Mac 2013, yang menyaksikan “tsunami politik 308” pada PRU-12.

Selain itu, adakah Najib menerima bahawa Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia yang ditandatangani pada 20 Februari lalu yang tidak menggerakkan perjuangan dan prinsip integriti, tatalaku beretika, akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus baik mengenai PRU-13 tetapi mencapai sesuatu yang sebaliknya.

“Najib juga perlu mengaku semua inisiatif dan dasar “transformasi” sejak empat tahun lalu gagal kerana tidak mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Jemaah Menteri, Majlis Tertinggi UMNO atau Majlis Tertinggi Barisan Nasional;

“Slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, dilihat melalui pencerobohan kumpulan militant Sulu, sejak 26 hari lalu hingga meragut nyawa lapan komando polis yang tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka bertanggungjawab melindungi kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Sabah dan pegawai keselamatan diberi ruang melaksanakan tugas secara profesional dan cekap.

“Program NKRA terutama untuk memerangi rasuah, mengurangkan jenayah dan meningkatkan kualiti pendidikan, juga gagal mencapai matlamatnya,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 35 Hari ke PRU-13, semalam.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, semalam terdapat iklan satu muka penuh dalam akhbar New Straits Times mengenai “Conversation with the PM” dengan menjumput mereka yang mempunyai soalan mengenai isu semasa untuk Perdana Menteri” supaya emailkan soalan itu kepada q&[email protected] paling lewat hari ini.

Mengikut iklan itu Najib yang akan muncul ‘secara langsung’ dalam satu program TV khas yang akan ditayangkan tidak lama lagi akan menjawab beberapa soalan anda sebelum PRU-13.

Kit Siang berkata, soalan yang beliau kemukakan itu sangat penting bagi Najib yang menjadi Perdana Menteri paling lama tidak diundi dalam mendapatkan mandat daripada pengundi hampir empat tahun penuh

“Soalnya sekarang adakah Najib bersedia menghormati dan mematuhi konvensyen kerajaan tidak rasmi dan amalan terbaik di negara lain yang mempunyai demokrasi berparlimen yang berfungsi, termasuk:

  • Tiada keputusan dasar yang utama boleh dibuat Kerajaan tidak rasmi melainkan dalam hal mendesak dan selepas rundingan rasmi dengan oposisi.
  • Tiada pelantikan signifikan pegawai awam utama, melainkan sebagai pemangku atau tempoh masa pendek.
  • Tiada kontrak atau akujanji sepanjang tempoh menjadi kerajaan tidak rasmi. Jika tidak mungkin untuk menangguhkan komitmen sehingga selepas tempoh pentadbiran sementara, untuk tujuan perundangan, komersil dan sebab lain, akan terdapat rundingan dengan oposisi untuk memastikan kontrak turut menyediakan fasal bagi menamatkannya jika kerajaan baru tidak mahu meneruskan.
  • Syarat yang sama termasuk di dalam memberikan tender.
  • Tiada rundingan dan lawatan antarabangsa.
  • Tiada pembabitan penjawat awam dalam aktiviti pilihan raya dengan penjawat awam mengambil pendirian neutral sementara terus menasihati Kerajaan.

Beliau berkata, moraliti umum menuntut Najib menganggap dirinya mulai hari ini sebagai Perdana Menteri tidak rasmi dan begitu juga dengan kabinetnya dan mereka tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan substantif sama ada berkenaan dasar, pelantikan, kewajipan berkontrak atau penyalahgunaan perkhidmatan awam, sama ada pegawai, hasil dan dana awam tanpa berunding dengan oposisi.

“Biar Najib secara terbuka menyatakan sama ada beliau bersedia menerima konsep dan kebiasaan sebagai kerajaan tidak rasmi apabila Parlimen ke-12 secara rasminya terbubar, selain bersedia menerima moraliti politik bahawa secara moralnya, beliau hanya Perdana Menteri tidak rasmi mulai hari ini.

“Ketika saya meminta untuk menunjukkan tangan sama ada mereka mahu saya tandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya TI-M sebagaimana Perdana Menteri tandatangani, secara sepakat mereka mengangkat tangan tidak mahu saya tandatangan seperti yang dizahirkan ribuan hadirin sama ada pada ceramah DAP UBAH Dream Truck di Petaling Jaya, pada Isnin atau di Taman Sentosa di Johor Bahru, pada malam Selasa.

“Dalam tinjauan pandangan di Facebook sama ada saya perlu menandatangani ikrar itu, hanya empat peratus atau lima daripada 116 responden menyokong saya menandatangani, sementara 96% tidak menyokong,” katanya.-Roketkini.com