Berita

Malaysia cipta sejarah berada dalam kempen PRU sejak empat tahun lalu

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Malaysia mencipta sejarah dunia dan masuk dalam Guinness Book of Records sebagai negara yang berada dalam kempen pilihan raya umum untuk hampir empat tahun sejak Datuk Seri Najib Razak menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009.

Sehingga hari ini Najib masih takut membubarkan Parlimen untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) walaupun beliau hanya memperoleh ruang bernafas hanya 49 hari lagi sebelum Parlimen terbubar secara automatik pada 27 April mengikut Perlembagaan tanpa perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib boleh dianggap sebagai Perdana Menteri “tidak sah” yang mengetuai Kabinet tidak sah yang tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan besar atau substantif baik membabitkan dasar, pelantikan, kewajipan berkontrak atau menyalahgunakan perkhidmatan awam baik pegawai, sumber dan dana awam tanpa berunding dengan oposisi.

“Semalam, ketika melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia, Najib menyeru umat Islam dan bukan Islam di Malaysia untuk mengamalkan konsep dan semangat wasatiyyah (sederhana) dan menjadikannya teras serta hala tuju negara untuk memastikan kemakmuran dan kebaikan negara.

“Najib semakin berjaya menjadi pendukung “ironi kepada ironi”, secara terbuka menyokong konsep yang beliau tidak ada niat atau kesungguhan politik untuk mengamalkannya,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 33 Hari ke PRU13, semalam.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, dua hari lalu, beliau ditanya sama ada Najib akan membubarkan Parlimen pada 11 Mac jam 11.11 pagi.

“Ini mengingatkan saya kepada ramalan “enam satu” dua tahun lalu, bahawa Najib akan membubarkan Parlimen pada 11 November 2011, yang mempunyai “6 angka 1”, memandangkan “11” merupakan nombor kegemaran dan nombor ajaib Najib.

“Bagaimanapun “Enam Satu” “11.11.11” sudah berlalu, 2011 dan 2012 berakhir dan bermula hari ini, Parlimen ke-12 melangkaui lima tahun jangka hayat kebiasaan menjadikan Najib di mata kebanyakan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri “tidak sah”, kerana tanpa mandat baru rakyat hampir empat tahun lamanya,” katanya.

Beliau berkata, bolehkah Najib jelaskan apakah itu “wasatiyyah” yang diucapkan ketika Tahun Baru Cina baru-baru ini, beliau dan kerajaan beliau melanggar konsep dan semangat wasatiyyah. – Roketkini.com