Berita

“Ibarat cendawan tumbuh”: Gerai haram undang jenayah resahkan penduduk

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Fenomena gerai haram milik warga asing yang dibina sesuka hati ibarat cendawan tumbuh sudah lama diperkatakan. Disebabkan masalah itu, kira-kira 500 penduduk warga tempatan Bukit Prima Pelangi terpaksa mengharungi kehidupan mereka dalam keadaan tidak selesa.

Seorang penduduk, Samsudin Aripin, 45, mendakwa kewujudan gerai haram itu juga membimbangkan penduduk untuk meninggalkan kediaman mereka berikutan berlakunya insiden pergaduhan dan pembunuhan di kawasan itu tahun lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Disember tahun lalu tetapi malangnya tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa itu.

“Pada 9 Januari lalu saya juga menghantar emel untuk mengingatkan pihak penguatkuasa berkenaan. Aduan itu juga dimajukan kepada Jabatan Rekabentuk Bandar dan Bangunan termasuk Jabatan Perlesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL.

“Pihak DBKL yang melawat kawasan itu pada 24 Januari lalu mengesahkan terdapat enam gerai haram. Jika mereka tidak bertindak, kami bimbang ia boleh mengundang berlakunya perkara yang lebih buruk,” ujar beliau ketika melawat kawasan berkenaan.

Tambah Lip Eng, selain isu keselamatan dan penguatkuasaan, penduduk juga berhadapan isu kebersihan di mana sampah-sarap daripada gerai haram itu dibuang ke dalam longkang.

“Memang menyakitkan mata memandang,” katanya.

Mengenai jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh pada sidang Parlimen Oktober tahun lalu menyatakan bahawa lebih 1.58 juta pekerja asing berdaftar bekerja di negara ini sehingga Julai 2012.

Tambahnya, jumlah itu mewakili pekerja asing yang digaji secara sah dan mempunyai Pas Lawatan (Kerja Sementara) dikeluarkan Jabatan Imigresen.

“Indonesia adalah antara lima negara paling ramai pekerja asing yang berdaftar bekerja di Malaysia iaitu 767,590 orang diikuti Nepal (279,421), Myanmar (137,784), Bangladesh (134,148) dan India (91,222),” kata Hisham.

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia, jumlah pekerja asing yang sah dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang didaftarkan menerusi Program 6P sehingga 31 Ogos 2011 ialah seramai 2,320,034 orang. – Roketkini.com