Berita

Tanggungjawab terbesar PR untuk sedia, siapkan masa depan anak muda

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tanggungjawab terbesar yang harus dilakukan per’UBAH’an oleh Pakatan Rakyat (PR) terdiri daripada DAP, PKR dan PAS apabila memerintah nanti adalah untuk menyedia dan mempersiapkan masa depan untuk anak muda.

Beliau berkata, untuk pertama kalinya dalam sejarah 56 tahun negara, terdapat peluang untuk perubahan, wujud pilihan yang jelas dan ketara di antara rejim yang tidak demokratik, korup, mengamalkan politik perkauman dan bankrap, berbanding alternatifnya yang lebih bersih, mengamalkan integriti, nilai kebebasan dan hak asasi manusia serta terbukti Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Bagaimanapun, katanya, yang pasti perubahan tidak akan datang dengan mudah kerana beberapa hari lalu kita melihat karenah ganas oleh samseng BN, apabila Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pun boleh diserang oleh gerombolan yang tidak terkawal dan bas yang dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu menyebabkan beberapa orang cedera.

“Ini adalah hanya permulaan dan tindakan terdesak BN itu akan berterusan dan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan media sempena sambutan ulangtahun ke-47 DAP yang buat pertama kalinya di Johor sejak 1966, semalam.

Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, cabaran terbesar DAP bersama PR adalah wujudnya penyelewengan pilihan raya oleh BN dan sifat tidak adil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang partisan pada pilihan raya umum akan datang.

“Daftar pemilih masih tidak dibersihkan. Di Selangor, terdapat hakikat yang mengejutkan bahawa 28% atau 140,000 pengundi baru tidak dapat dikenalpasti. Adakah 28% itu kelebihan yang sengaja diwujudkan dalam proses pilihan raya untuk manfaat BN.

“Tambahan pula persempadanan semula kawasan pilihan raya atau ‘gerrymandering’ dilakukan dengan cara yang tidak demokratik serta memberi manfaat kepada BN. Contohnya, kawasan Parlimen terkecil di Malaysia, P125 Putrajaya, mempunyai 15,308 pengundi pada suku ke-3 2012, manakala kawasan terbesar, P109 Kapar, mempunyai 142,419 pengundi. Bilangan pengundi di kawasan parlimen yang terbesar adalah sembilan kali jumlah kawasan parlimen terkecil.

“Dalam erti kata lain, satu undi di P125 Putrajaya adalah lebih kurang sama dengan sembilan undi di P109 Kapar. Ini merupakan pelanggaran kasar prinsip ‘Satu Orang Satu Undi’ di mana undi seorang harus mempunyai wajaran yang sama dan kuasa berbanding undi orang lain,” katanya.

Menurut Guan Eng, atas sebab itu PR akan bermula dengan handikap kerana kita perlu memenangi lebih banyak undi popular untuk memenangi 50% kerusi, jika tidak BN akan kekal memenangi pilihan raya.

Beliau berkata, seperti yang pernah disebut Mahatma Gandhi, “Khazanah bumi ini cukup untuk keperluan setiap orang, tetapi tidak akan mencukupi untuk ketamakan walau seorang manusia.”

“Rasuah oleh BN berakar umbi di Malaysia. Meskipun menghapuskan rasuah adalah antara keutamaan tertinggi PR, tugas yang paling sukar adalah untuk memberi harapan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita. Dalam kata lain, tanggungjawab terbesar UBAH adalah menyedia dan mempersiapkan masa depan anak muda,” katanya.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sebuah sistem pendidikan yang tersedia, mudah didapati dan berpatutan harganya mestilah juga memupuk budaya kecemerlangan.

Sebaliknya, katanya, kita hanya berjaya meningkatkan budaya kesederhanaan dengan penurunan kedudukan Malaysia dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 2011 dari tangga ke-20 turun ke-26 dalam Matematik, manakala dari tangga ke-21 jatuh ke-32 dalam bidang Sains.

Ini mengesahkan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2009 bahawa kecekapan pelajar berusia 15 tahun di Malaysia adalah tiga tahun terkebelakang berbanding purata antarabangsa.

“Rakyat Malaysia keseluruhannya sebagai sebuah negara sedang berdepan dengan jurang kemerosotan bakat dan tenaga kerja yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan melumpuhkan usaha untuk berubah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, dan sebuah negara maju berasaskan pengetahuan. Kecuali dengan membangun dan membina bakat manusia, melatih semula dan mengekalkan mereka serta menarik bakat baru, kita akan berhadapan risiko bukan saja ketinggalan berbanding ekonomi negara maju baru seperti Singapura dan Korea Selatan tetapi juga akan dipintas negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“PR tidak hanya menawarkan pendidikan percuma malah akan mengabaikan perkaitan politik demi memilih yang terbaik dan cemerlang. Pada masa sama, PR akan membina pusat kecemerlangan untuk memberi tuisyen kepada pelajar lemah akademik supaya kita tidak hanya memberi tumpuan kepada yang terbaik tetapi turut mewujudkan sebuah arus bakat sokongan dengan standard yang tinggi,” tambahnya.

Beliau berkata, untuk berjaya, Malaysia perlu dibebaskan daripada jerat belenggu minda oleh BN yang enggan membiarkan kita berfikir.

Katanya, hadiah terbesar yang boleh diberikan kerajaan kepada penduduknya bukan pemberian wang tunai tetapi ilmu pengetahuan dan kebebasan daripada ketakutan sebagaimana kata Plato: “Kita boleh memaafkan kanak-kanak yang takut kepada kegelapan, tragedi yang sebenar adalah apabila lelaki dan wanita dewasa takut kepada cahaya”.

Oleh itu, katanya, mari kita UBAH dan membawa pencerahan kepada semua empat penjuru Malaysia! – Roketkini.com