Berita

Janji tidak ditepati: DAP mahu status projek RMK-9 didedah

KOTA KINABALU, 25 MAC: “Cakap tak serupa bikin, janji tak ditepati”. itulah kesimpulan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu apabila mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan projek Rancangan Malaysia ke- 9 (RMK-9) dengan baik.

Menurutnya, slogan “Janji Ditepati” yang menjadi modal politik BN adalah slogan ‘auta’ semata-mata apabila merujuk kepada projek pembangunan RMK-9 yang gagal disiapkan malah dibawa ke RMK-10.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perdana Menteri, pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di seluruh negara sehingga 15 Oktober 2010 cuma selesai tidak sampai 50 peratus.

“Daripada 27,120 projek, hanya 12,568 projek mengikut RMK-9 berjaya disiapkan manakala baki 52.3 peratus lagi projek pembangunan masih dalam pembinaan,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Dr Hiew berkata, pelaksanaan projek RMK-10 telah melalui masa pertengahannya dan persoalan yang timbul sekarang ialah apakah status projek RMK-9 yang masih dalam pembinaan itu.

“Kini sudah masuk RMK-10, adakah projek itu selesai atau terbengkalai? Persoalan itu harus dijelaskan,” katanya.

Bagi negeri Sabah pula, menurut Dr Hiew, sebanyak RM16.9 bilion telah diperuntukkan bagi projek RMK-9.

“Daripada 3,690 projek yang diluluskan, hanya 2,056 projek bernilai RM6.81 bilion yang siap manakala baki 843 projek bernilai RM3.73 bilion dibawa ke RMK-10. Ini menunjukkan, banyak projek kecil disiapkan tetapi 843 projek besar tidak disiapkan,” jelasnya.

Tambahnya, daripada fakta angka yang disediakan Jabatan Perdana Menteri, ia membuktikan kerajaan BN tidak efisyen dan gagal menguruskan projek Rancangan Malaysia dengan baik.

“BN adalah pengurus terburuk, ini bukan janji ditepati, sebaliknya janji tidak ditepati” katanya.

Justeru itu, Dr Hiew meminta agar seluruh rakyat Malaysia menolak BN pada pilihan raya umum nanti bagi memastikan pentadbiran negara dan negeri cekap, telus dan akauntabel seperti yang dibuktikan negeri yang ditadbir PR.-Roketkini.com