Berita

Pelan Induk Pengangkutan P Pinang: Kenal pasti kesulitan rakyat, selesai secara integriti, berhemah

GEORGE TOWN, 26 MAC: Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti pelbagai kesulitan rakyat terutama di dalam aspek pengangkutan dan pengurusan lalu lintas untuk diselesaikan secara berintegriti dan berhemah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tempoh pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri itu dibahagi kepada tiga komponen utama iaitu jangka pendek iaitu antara 2013 dan 2015, jangka sederhana (2015-2020) dan jangka panjang (2020-2030).

Katanya, cadangan pembinaan link ketiga atau terowong bawah laut dianggap tepat pada masanya kerana ia dapat menyelesaikan kesesakan di bahagian utara Pulau Pinang selain bertindak sebagai by pass bagi kenderaan yang menghala ke utara Pulau Pinang tanpa perlu melalui jalan ke Jambatan Pulau Pinang atau Jambatan Kedua untuk keluar ke tanah besar.

“Ini bermakna tekanan lalulintas di kawasan bandaraya, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua akan dikurangkan terutama ketika waktu puncak. Terowong juga dapat menyelesaikan masalah di antara jalan tempatan dan Lebuhraya PLUS. Ini kerana kenderaan yang datang daripada selatan tanah air akan bertemu di Seberang Perai bercampur kenderaan daripada jambatan sedia ada mengakibatkan kesesakan teruk terutama ketika waktu puncak dan musim perayaan/cuti sekolah.

“Selain itu, terowong akan menjadi ikon baru kepada Pulau Pinang dan menjadi terowong bawah laut pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, di Komtar, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk  Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 2, Profesor Dr P Ramasamy a/l Palanisamy dan Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, visi dan misi Kerajaan Negeri sejak mula memerintah negeri Pulau Pinang pada 2008 ialah mewujudkan satu sistem pengangkutan awam dan jalan raya yang berintegrasi dan menyeluruh di seluruh negeri Pulau Pinang termasuk di Seberang Perai.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan Seberang Perai kerana kawasan itu juga sebahagian daripada negeri Pulau Pinang dan penduduk Seberang Perai juga berhak menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan seperti penduduk di bahagian pulau.

Katanya, pelbagai usaha gigih digerakkan terutama oleh kedua-dua PBT bagi menyelesaikan isu pengangkutan dan kesesakan jalan raya yang setiap hari menghantui semua rakyat Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri menolak cadangan mengenakan bayaran kepada kenderaan masuk ke Pulau Pinang yang disyor pihak yang menentang pembinaan tiga  lebuhraya dan terowong.

“Kerajaan Negeri telah berusaha gigih selama lima tahun untuk mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang berkesan. Malangnya Kerajaan Persekutuan yang memiliki kuasa mutlak ke atas pengangkutan awam enggan bekerjasama.

“Contohnya, tawaran Kerajaan Negeri membayar RM10 juta setahun untuk perkhidmatan bas percuma pada waktu puncak ditolak oleh Rapid Penang serta cadangan kepada Kerajaan Persekutuan membeli bas sendiri oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk memberi perkhidmatan percuma tidak dilayan langsung, tambahan pula Kerajaan Pusat enggan menunaikan janji membina monorel seperti yang dicadangkan sejak 2007,” katanya.

Beliau berkata, daripada sudut pelaburan pula, sistem pengangkutan dan pengurusan trafik yang baik menjadi satu daripada faktor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesuatu bandar.

Katanya, infrastruktur yang sempurna juga menjadi kayu pengukur kepada pelabur, ini secara langsung dapat membantu daerah Seberang Perai Utara menjadi lebih maju dan dapat menjana ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang.-Roketkini.com