Berita

DAP berani: Guan Eng sahut cabaran Teng Chang Yeow

GEORGE TOWN, 28 MAC: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan kesediaan beliau menyahut cabaran Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yow untuk bertanding satu lawan satu.

Bercakap pada sidang media hari ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP memberitahu bahawa beliau bersedia menerima cabaran tersebut dan menawarkan diri untuk mencabar Teng bertanding di kerusi DUN Padang Kota, kawasan yang pernah dimenangi Teng tiga penggal berturut-turut sebelum tumpas pada PRU 2008.

Penyandang kerusi DUN Padang Kota, Chow Kon Yeow juga bersetuju untuk bertanding di DUN Air Puteh, menggantikan tempat Guan Eng.

Menurut beliau, Teng pernah berkata, bahawa seseorang individu perlu bangkit di tempat jatuhnya, maka di Padang Kota mereka akan bersemuka pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Memandangkan beliau (Teng) yang mengeluarkan cabaran itu, marilah kita balik ke kawasan lamanya, Padang Kota yang dimenanginya selama tiga penggal dan buktikan sama ada apa yang dikatanya benar atau tidak,” ujar Guan Eng.

DUN Padang Kota adalah kerusi DUN tradisi Gerakan dan dimenangi Teng pada 2004 dengan majoriti 2,254 undi. Teng bagaimanapun tumpas kepada Chow Kon Yeow pada PRU Mac 2008 dengan majoriti berpihak kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang itu sebanyak 1,661 undi. – Roketkini.com