Berita

Chor Chee Heung jahil dakwa Kit Siang tamak

KULAI, 3 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempertikai dan kecewa dengan tuduhan Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung apabila mendakwa beliau tamak kerana akan dapat pencen berganda sebab itu bertanding di banyak kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti .

Katanya, ketika di Gelang Patah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mempertikai motif beliau memilih bertanding di Parlimen Gelang Patah daripada Ipoh Timur yang dimenangi dua penggal lalu iaitu pada 2004 dan 2008.

“Saya amat terkejut dengan dakwaan Chor itu, kerana saya tidak pernah tahu bahawa saya berhak mendapat pencen lebih apabila berpindah bertanding dari satu kawasan ke kawasan lain. Ini tentu tidak berasas dan menampakkan kejahilan dan kebodohan Chor.

“Untuk pengetahuan Chor, setiap Ahli Parlimen hanya layak mendapat satu pencen Parlimen walaupun memenangi berapa banyak kawasan Parlimen yang ditandingi seseorang itu sepanjang hidupnya,” katanya ketika berucap di Taman Bukit Indah, Pengkalan Rinting, dekat sini, semalam.

Kit Siang berkata, beliau sudah menjadi Ahli Parlimen di empat negeri iaitu Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan akan bertanding di Gelang Patah, Johor pada PRU-13 nanti.

“Adakah ini bermakna saya berhak menerima lima pencen jika saya menang di Gelang Patah sedangkan tidak ada undang-undang yang memperuntukkan bahawa seorang Ahli Parlimen itu boleh mendapatkan pencen berganda jika bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain,” ujarnya..

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, MCA juga tidak boleh lagi menyembunyikan hakikat bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah 64 tahun penubuhan parti itu apabila Presiden hilang hak untuk menentukan sama ada dia bertanding atau tidak pada PRU-13 nanti.

“Sekarang Presiden MCA hanya bergantung kepada keputusan Presiden UMNO sama ada dia boleh bertanding atau sebaliknya sebagai calon BN pada PRU-13 nanti.

“Apabila Presiden MCA perlu bergantung kepada kelulusan Presiden UMNO bermakna dia dan kepimpinan di bawahnya tidak berani dan sanggup berkompromi prinsip kerana terhutang budi dengan UMNO,” katanya – Roketkini.com