Berita

BN tandus modal politik, DAP mahu tamatkan politik perkauman

KLUANG, 8 APR: DAP mahu menamatkan politik momokan kaum dan agama kerana hakikat pilihan raya umum di negara ini adalah perang terhadap rasuah dan salah guna kuasa yang sudah lama menjadi barah terhadap negara dan masyarakat.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, untuk merealisasikan hasrat Malaysia yang telus, berintegriti dan adil, rakyat Malaysia harus menamatkan riwayat kerajaan BN dan memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) sebagai kerajaan baru.

“Kita (kerajaan negeri PR) terbukti konsisten dan komited memperjuangkan keadilan, ketelusan dan integriti. Kita mempunya rekod baik. Tiada siapa dapat menafikannya,” katanya dalam satu ceramah, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga calon DAP bagi Parlimen Kluang berkata, disebabkan itu, BN sentiasa mencari jalan menimbulkan keraguan rakyat terhadap kelebihan PR dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang tidak masuk akal.

“MCA kata kepada orang Cina bahawa PAS parti Islam ekstrim. Tetapi, UMNO pula kata kepada orang Melayu bahawa DAP parti ekstrim Cina.

“Tetapi adakah kita sedar siapa yang ekstrim? UMNO gunakan Perkasa, Utusan untuk timbulkan kebencian antara kaum, mana dia 1Malaysia?,” soal Chin Tong.

“Dengan Pelan Transformasi Kerajaan yang gagal, kadar rasuah yang semakin meningkat dan hutang negara yang tertinggi dicatatkan, BN tidak punya modal politik lain selain menimbulkan perpecahan dan perbalahan di kalangan rakyat.

“Zaman sudah berbeza, rakyat tidak boleh lagi dibohongi seperti dulu. Kita kini punya banyak media cetak dan media sosial yang boleh menjawab semua tohmahan BN.

“Apa yang kita nak, Melayu tidak lagi takut pada Cina, India tidak takut pada Melayu. Kita mahu Melayu, India, Cina dan semua kaum yang ada hidup tanpa prasangka, kita mahu hidup di sebuah negara yang saling mempercayai dan bersatu kerana Malaysia adalah untuk kita semua,” tegas Chin Tong diiringi tepukan gemuruh hadirin. – Roketkini.com