Rencana

UMNO mahu Melayu jadi bacul; DAP mahu Melayu berani lawan, berani hidup! Oleh Hafiz Zainuddin

ORANG Melayu bukan bangsa bacul dan penakut. Kalau lautan sangup diredah, Himalaya sanggup didaki, hutan banat sanggup diterokai, gajah dan harimau gentar tiada, Portugis, Inggeris, Jepun dan komunis diperangi; ini sudah cukup sebagai bukti bahawa orang Melayu jauh sifatnya dengan ajaran UMNO-BN selama ini.

UMNO mengajar orang Melayu perlukan mereka untuk terus survive di bumi Malaysia. UMNO mengajar kalau mereka kalah dalam pilihan raya, orang Melayu akan hidup derita, sengsara, huru-hara dan melarat. UMNO mengajar Melayu perlu bersatu di bawah panji mereka demi mengekalkan pemerintahan BN di Malaysia, tanpa BN, orang Melayu katanya akan hilang kuasa dan kekayaan, orang Melayu diibarat akan lenyap ditelan zaman.

Ini semua ajaran tahyul dan khurafat, kerana beratus-ratus tahun lampau sebelum masuknya Afonso de Albuquerque, berbekal ilmu di dada, orang Melayu berjaya melakar tamadunnya yang gemilang di nusantara dan dunia.

Tidak ada UMNO, tidak ada Perikatan, tidak ada BN ketika itu untuk Melayu hidup dan mencipta kegemilangan.

Soalan saya, adakah orang Melayu sebegitu hina dan rendah martabatnya sehingga sanggup diperhambakan UMNO, memperakui diri sebegitu lemah dan tidak mampu hidup tanpa mereka?

Inilah doktrin UMNO, inilah doktrin Mahathir, inilah dadah yang telah sebati dalam tubuh UMNO-BN sehingga menyebabkan sebahagian daripada orang Melayu tidak mampu berfikir luar daripada tempurung kepala sendiri.

DAP untuk Melayu, India, Cina dan semua!

Orang Melayu yang menyertai DAP dilabel sebagai pengkhianat bangsa. Sebab, DAP itu ‘parti Cina’ kata mereka. Makanya, kalau anak kita masuk sekolah Cina, adakah anak kita itu juga dituduh pengkhianat Melayu sebab tidak masuk sekolah kebangsaan? Ini sudah cukup memberi gambaran mudah betapa ceteknya pemikiran sebahagian pimpinan UMNO.

DAP terbuka kepada semua kaum sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti. DAP wujud untuk membentuk Malaysia dan masyarakat yang dinamik dan demokratik berlandaskan Perlembagaan Pesekutuan. DAP adalah parti yang berprinsip. Prinsip yang sama terus diperjuangkan sepertimana yang terkandung dalam Rukun Negara yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara. Ia berbunyi:
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

* Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
* Memelihara cara hidup demokratik
* Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
* Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
* Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden
Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip berikut:

· Kepercayaan kepada Tuhan
· Kesetiaan kepada Raja dan Negara
· Keluhuran Perlembagaan
· Kedaulatan Undang-undang
· Kesopanan dan Kesusilaan

Sebab itu DAP tidak pernah mengakui parti ini ‘parti Cina’. DAP Cuma dilabel demikian kerana keahliannya lebih memikat masyarakat itu berbanding Melayu malah pada hakikatnya, wakil India adalah majoriti Ahli Parlimen DAP yang berada dalam Dewan Rakyat.

Dan, sudah tentu apabila ‘parti Cina’ ini semakin mendapat tempat di sanubari orang Melayu yang sedar. UMNO berasa bimbang kerana mereka sebelum ini paling kuat mendakwa satu-satunya parti yang mewakili Melayu dan seharusnya orang Melayu bersama mereka. Perhitungan mereka sudah ketinggalan. Melayu makin maju, baik daripada fizikalnya atau pemikirannya.

Saya berani mencongak, ekonomi Malaysia akan terus tersembam dengan mengekalkan UMNO-BN menguru negara ini. Sebab, tanpa political will, Malaysia tidak lagi mampu berhadapan dengan masalah rasuah dan kronisma yang akhirnya menekan kita, rakyat Malaysia.

Kini, tema terbesar pilihan raya umum 5 Mei ini antara rakyat dan UMNO-BN adalah perang terhadap rasuah, monopoli dan salah guna kuasa. Justeru, kita tidak perlu hairan apabila UMNO-BN memainkan sentimen perkauman untuk menutup dosa mereka dan meraih semula sokongan orang melayu yang tidak sedikit beralih arah cenderung kepada DAP dan PR.

Rasuah tidak mengenal bangsa dan agama, rasuah juga tidak mengenal samada anda Bumiputera atau tidak. Yang pasti, wang saya dan wang anda terus dilahap pemimpin UMNO-BN yang bertopengkan songkok dan samping songket berkilauan.

Tiada guna keris tidak bersarung dijulang, tiada guna Hidup Melayu dilaung, sedang bangsa dan rakyat sendiri ramai merempat, berhempas pulas bekerja untuk menampung keluarga dan membayar cukai kepada kerajaan dan kemudian cukai itu pula dibelanja anak pinak sahabat taulan cucu cicit kroni UMNO-BN.

Cukup-cukuplah UMNO bagi kita. Ayuh orang Melayu, bangkit dan berjuanglah untuk kita, untuk semua, demi Malaysia yang adil, berdaulat dan berintegriti! – Roketkini.com