Berita

Sabotaj DAP, langkah terdesak BN yang takut kalah

KUALA LUMPUR, 18 APR: DAP menerima dua pucuk surat semalam daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS – Registrar of Societies) yang berada di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri. Kedua-dua surat itu bercanggah antara satu sama lain, namun tujuannya sama, iaitu mahu melemahkan usaha DAP yang semakin mendapat sambutan hebat di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Tak sampai 48 jam sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, ROS menghantar sepucuk surat yang diterima pada 11:49 pagi 17 April yang mengatakan ROS menangguhkan siasatan terhadap DAP berhubung isu kesilapan copy and paste keputusan pemilihan parti akhir tahun lalu.

Namun pada jam 5:25 petang hari yang sama, jabatan tersebut menghantar satu lagi notis di bawah Sekseyn 16 (1) Akta Pertubuhan 1966 yang menyatakan bahawa ROS tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang telah dilantik pada 4 Januari 2013.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan tersebut adalah satu sabotaj terhadap DAP supaya simbol parti tersebut tidak boleh digunakan dalam proses pilihanraya umum yang bakal berlangsung kurang dua hari lagi.

“Ini satu muslihat yang jahat. Barisan Nasional mahu pastikan DAP gagal bertanding menggunakan simbol Roket kerana mereka takut kalah.

“Kita pula sedia terima kalau kalah di medan pilihanraya, tapi BN jangan bertindak macam pengecut,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat kebangsaan DAP di sini petang tadi.

Beliau turut berkata bahawa DAP tidak akan menerima begitu sahaja arahan zalim sedemikian dan tetap akan menentang tindakan tersebut yang sengaja menganiayai sebuah parti oposisi.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya adalah Setiausaha Agung yang sahih yang dipilih oleh wakil parti DAP; tidak ada siapa boleh menafikan hakikat ini. Kalau BN berani, lawanlah dalam pilihanraya, jangan jadi pengecut guna undang-undang mereka yang zalim,” katanya.

Guan Eng juga turut memohon supaya semua ahli dan penyokong DAP bertenang berikutan banyak suara-suara yang meluahkan kerisauan tentang apa yang telah berlaku.

“Dalam 47 tahun DAP diwujudkan, kita tidak pernah lihat taktik sedemikian dilakukan ke atas sebuah parti politik sehari sebelum penamaan calon,” ujar beliau yang juga Ketua Menteri Sementara Pulau Pinang.

DAP dan Pakatan Rakyat semakin mendapat sambutan rakyat walaupun pelbagai taktik kotor dan intimidasi dilakukan oleh BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroni mereka.

Banyak ceramah Pakatan serta lawatan calon-calon mereka akhir-akhir ini diberi sambutan luar biasa oleh rakyat pelbagai kaum dan agama. – Roketkini.com