Berita

Sim Tong Him diberi tempoh 24 jam untuk tarik diri

KUALA LUMPUR, 21 APR: Calon DAP untuk Parlimen Kota Melaka diberi tempoh 24 jam untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas di DUN Kota Laksamana atau bertanggungjawab sekiranya BN menang di kedua-dua kerusi tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi kata dua itu kepada Sim Tong Him yang membuat keputusan mengejut bertanding sebagai calon bebas di DUN Kota Laksamana menentang calon DAP sendiri, Lai Keun Ban.

“Jika saya tahu yang Sim mahu bertanding sebagai calon bebas di Kota Laksamana, saya sebagai Setiausaha Agung tidak akan tandatangan watikah itu dan melantik Sim menjadi calon DAP di kerusi Parlimen Kota Melaka,” ujar Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.

“Saya memberi amaran kepada Sim bahawa tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Saya sendiri sebagai Setiausaha Agung DAP tidak pernah mengatakan bahawa Lim Guan Eng = DAP dan DAP = Lim Guan Eng,” katanya mengulas kenyataan Sim dalam satu ceramah di Ibu Pejabat DAP Melaka, semalam yang menggunakan slogan “DAP = Sim dan Sim = DAP”

Beliau berkata, malah sekarang Sim bukannya Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, badan tertinggi yang membuat keputusan parti.

Guan Eng juga menegaskan bahawa kepentingan parti haruslah diletakkan melebihi kepentingan individu dan peribadi dan tidak ada sesiapa yang patut merasakan dirinya lebih besar daripada parti.

Menurut beliau lagi, tindakan Sim merasakan dirinya lebih besar daripada parti membahayakan peluang DAP di kedua-dua kerusi DUN Kota Laksamana dan Parlimen Kota Melaka.

“Ramai kawan saya, terutamanya Melayu, menyangkakan jika Sim telah dibeli dan mengingatkan saya bahawa DAP tidak akan mendapat undi orang Melayu jika Sim tidak boleh membuktikan integritinya kepada umum.

“Pengundi Melayu akan beralih arah kepada BN jika mereka fikir calon Pakatan Rakyat telah dikompromi,” katanya.

Menurut beliau, parti berasa sedih kerana di saat setiap pemimpin DAP sedang berjuang menentang taktik kotor BN untuk menghalang DAP daripada menggunakan simbol Roket, Sim membuat keputusan untuk berjuang menggunakan simbolnya sendiri,” kata Guan Eng. – Roketkini.com