Berita

Beri peluang PR bukti kesungguhan laksana dasar untungkan rakyat: Mahdzir Ibrahim

PONTIAN, 22 APRIL: Pakatan Rakyat (PR) perlu diberi mandat untuk membuktikan kesungguhan melaksanakan semua dasar yang menguntungkan rakyat sepertimana yang berjaya dibuktikan di beberapa negeri pentadbirannya termasuk Selangor dan Pulau Pinang.

Calon DAP Parlimen Tanjong Piai, Mahdzir Ibrahim berkata, pengundi perlu menolak semua manipulasi dimainkan Barisan Nasional (BN) yang menggambarkan negeri-negeri PR tidak cemerlang.

“PR tidak cakap kosong. Kita sudah buktikan. Orang Pulau Pinang, orang Selangor tahu. Kami mahu bela orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua rakyat Malaysia. Bukan hanya membela orang Melayu tertentu atau orang Cina tertentu,” tegasnya berucap di hadapan lebih 2,000 orang yang membanjiri perkarangan Pusat Media PR Tanjung Piai malam tadi.

Menurut Mahdzir, apa yang diamalkan BN sekadar pembelaan terhadap orang tertentu yang menyebabkan berlakunya monopoli, rasuah dan salah guna kuasa.

“Kalau Mokhzani Mahathir kerja lapan jam sehari, kita pun kerja lapan jam sehari, bagaimana dia boleh kaya senang-senang. Orang lain pun kerja juga?

“Kami mahu seluruh rakyat negara ini mendapat peluang yang sama dengan mereka. Kita mahu bentuk kerajaan PR yang adil, telus dan berintegirti,” ujar beliau.

Selain itu, Mahdzir berkata, disebabkan BN terlalu lama memerintah, parti itu juga seolah-olah menganggap harta kerajaan seperti hak mereka.

Menceritakan pengalaman beliau sebagai pegawai di Jabatan Belia dan Sukan Selangor sebelum ini, Mahdzir berkata sesetengah orang di fikir hak kerajaan ini adalah hak UMNO dan hak BN, pada hal hak kerajaan itu datangnya daripada duit kita yang bayar cukai. Bukannya duit UMNO-BN.

Turut berucap pada majlis itu ialah Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

Menurut beliau, jika dulu Korea Selatan jauh ketinggalan daripada Malaysia, kini negara itu mendahului negara ini berdasarkan pendapatan purata rakyatnya yang berjumlah US$22,000 sebulan berbanding US$900 bagi rakyat Malaysia.

“Najib Razak kata ekonomi negara dan rakyat semakin baik. Tapi kita sudah kalah dengan Korea Selatan yang dulunya jauh ketinggalan daripada Malaysia,” jelasnya yang juga calon Parlimen Petaling Jaya Utara.-Roketkini.com