Rencana

Kesilapan besar ROS satu ‘game changer’? Oleh Tommy Thomas

SURAT daripada pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada DAP bertarikh 17 April 2013 adalah salah satu di antara keputusan berat sebelah yang terburuk oleh kakitangan awam yang dikawal oleh Barisan Nasional (BN), yang bertujuan untuk melumpuhkan parti pembangkang menjelang hari penamaan calon sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

Ia akan mengakibatkan kepada pilihan raya yang paling tidak adil. Pada permulaan ini, saya dedahkan kepentingan saya: saya adalah salah seorang peguam yang menasihati DAP mengenai bagaimana untuk menjawap surat ROS berkenaan.

Surat itu telah difakskan oleh ROS ke pejabat DAP pada jam 5.25 petang 17 April 2013. Bagaimanapun, surat berkenaan hanya disedari DAP pada tengah hari keesokan harinya, iaitu pada 18 April 2013.

Surat itu memaklumkan kepada DAP tentang wujudnya pertikaian di kalangan ahlinya dan parti tersebut yang berbangkit daripada pemilihan jawatan Majlis Eksekutif Pusat (CEC) pada 15 Disember 2012. ROS seterusnya menyatakan bahawa memandangkan kesahihan pemilihan itu dipertikaikan, beliau telah mengeluarkan Notis tersebut mengikut Seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1965 (Akta) melalui surat berkenaan yang mengkehendaki DAP mengemukakan penjelasan bertulis untuk diterima ROS dalam tempoh sebulan berhubung langkah yang akan diambil DAP untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan.

Namun keputusan ROS yang kritikal ditemui pada ayat terakhir surat berkenaan yang menyatakan bahawa sementara menunggu penyelesaian pertikaian tersebut, ROS bertindak mengikut Seksyen 3A Akta tersebut “tidak akan mengiktiraf pemegang jawatan DAP yang dilantik CEC pada 15 Disember 2012”.

Kesan praktikal akibat daripada keputusan itu adalah suatu malapetaka. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, tidak lagi dapat menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk penaaman calon pada 20 April bagi semua 156 calon DAP bagi kerusi Parlimen dan Negeri.

Dengan itu, hak DAP untuk mempertandingkan 156 calonnya menggunakan nama DAP sendiri dan untuk bekempen menggunakan simbol roketnya yang tersohor, telah dipertikaikan. Percaturan masanya adalah sama bacul dengan keputusan itu sendiri, memandangkan DAP hanya mempunyai 36 jam untuk menentukan langkah seterusnya sebelum penamaan calon.

Sebarang keraguan jika ini adalah satu-satunya tujuan keputusan ROS itu telah terhapus apabila menyedari bahawa surat mereka juga turut disalinkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Sejak bilakah ianya menjadi suatu kelaziman bagi surat daripada ROS untuk turut disalinkan kepada SPR?

Saya tidak akan berhujah dengan panjang lebar di dalam nota ini dengan hujahan undang-undang yang teknikal mengenai mengapa keputusan ROS itu teramatlah cacat dari segi undang-undang, dan ia juga merupakan suatu penyalahgunaan kuasanya yang menggerunkan mengikut Akta terbabit.

Dalam erti kata lain, keputusan itu melangkaui (ultra vires) Akta berkenaan. Meskipun DAP berhasrat untuk mencabar surat ROS itu di Mahkamah, ketiadaan masa langsung untuk berbuat sedemikian bererti ini bukanlah suatu pilihan yang sesuai mahupun praktikal. Memandangkan keputusan itu adalah jelas keputusan yang bermotifkan politik, respons daripada DAP juga haruslah secara berpolitik.

Bahaya menawarkan cabaran dan juga peluang. DAP telah mengambil keputusan, daripada mempercayai SPR atau ROS, ia akan menerima tawaran murah hati PAS dan PKR untuk bertanding di atas tiket mereka. Dengan itu, sekali lagi keputusan daripada sebuah agensi kembali menghantui kerajaan — gol sendiri, jika anda mahu.

Sukar untuk mendapati walau seorang pun warga Malaysia yang akan menganggap bahawa keputusan yang terkandung di dalam surat bertarikh 17 April itu dibuat secara bebas oleh ROS.

Daripada segi pentadbiran, ROS melapor kepada Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu, satu-satunya persoalan yang ada adalah sama ada keputusan itu sebenarnya telah diambil oleh Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein secara bersendirian atau ianya dibuat secara rundingan bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Adalah mustahil untuk keputusan yang sebegitu besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 negara dapat dibuat oleh seorang kakitangan awam yang bertindak secara bebas.

Kesan yang tidak disengajakan ke atas pilihan raya

Dalam tempoh beberapa jam, keputusan ROS telah memakan diri mereka sendiri, dan pada jam 9.30 malam, 19 April 2013, ROS telah mengfakskan surat kedua kepada DAP. Ini mungkin tidak pernah berlaku dan yang pastinya menggambarkan “flip-flop” paling singkat di dalam sejarah Kerajaan Malaysia.

Apa yang menyebabkan “U-turn” itu bukanlah kerana menyedari bahawa keputusan mereka yang pertama adalah salah dan tidak patut. Sebaliknya, ia adalah berdasarkan “realpolitik” — menyedari bahawa BN akan merana semasa pilihan raya disebabkan oleh kesilapan yang dahsyat itu, dan langkah segera bagi mengawal kerosakan hendaklah diambil.

Meskipun surat kedua menyatakan bahawa ROS “tidak mempunyai bantahan terhadap penyertaan DAP di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan penggunaan simbolnya” namun ayat terakhirnya adalah membimbangkan kerana ia menyatakan bahawa “hanya pemegang jawatan di dalam CEC yang dipilih pada 15 Disember 2012 yang tidak diiktiraf oleh” ROS.

Namun begitu, memandangkan 156 calon DAP akhirnya dibenarkan untuk dicalonkan pada 20 April biarpun dokumen mereka ditandatangani oleh Lim Guan Eng, SPR seakan-akan tidak bimbang dengan tindak tanduk ROS yang tidak konsisten.

Keputusan ROS pada 17 April itu mempunyai kesan yang tidak disengajakan. Ia telah memberi peluang kepada ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP untuk menjadi gabungan yang lebih erat, yang mana diterima oleh pemimpin kanan mereka dengan serta merta.

Ini bukanlah tanpa sebarang risiko; kumpulan cauvinis di dalam DAP dan PAS barangkali berasa terpinggir dengan mendaratnya roket merah di atas bulan hijau. Namun begitu, sebahagian besar pengundi akan dapat menerima bahawa DAP telah didesak dan terpaksa untuk mengalihkan halangan terdekatnya bagi menawarkan 156 calon mereka kepada pengundi.

Hilang kelayakan 156 calon berkenaan oleh pegawai pengurus SPR yang berat sebelah pada 20 April hendaklah dielakkan dalam apa cara jua sekalipun. Kesungguhan PKR dan PAS dalam memberikan repons terhadap krisis DAP ini cuma dapat memberikan pembayang kepada kerjasama sebenar di antara mereka apabila mereka berjaya berkuasa dalam tempoh dua minggu lagi.

Penelitian dengan lebih dekat ke atas krisis yang membawa tiga parti Pakatan Rakyat untuk bersama akan menunjukkan bahawa ia sebenarnya bukanlah akibat yang tidak dijangkakan. Sebaliknya, ia adalah yang paling dapat dijangkakan. Oleh itu, mengapa pula ianya tidak dipertimbangkan oleh pembuat keputusan ROS sebelum mereka mengeluarkan surat bertarikh 17 April tersebut?

Apabila orang yang terdesak mengambil keputusan yang terdesak, maka kewarasan pun lenyap. Sebab yang paling penting mengapa pengundi Malaysia hendaklah dengan tegas menolak BN sebagai kerajaan Persekutuan kita adalah kerana ketidakcekapan dan ketidakmampuan mereka untuk memerintah dengan sewajarnya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh surat ROS bertarikh 17 April lalu. Mereka perlu dihukum semasa Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.

* Tommy Thomas adalah seorang peguam kanan di Malaysian Bar.