Berita

PRU-13: DAP menang 38 kerusi Parlimen

KUALA LUMPUR, 6 MEI: DAP memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), apabila memenangi 38 daripada 51 kerusi, dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

Di Parlimen Gelang Patah, Kit Siang mengalahkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk
Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Kemenangan itu membuktikan pengundi Cina di kawasan Parlimen itu memberi sokongan padu kepada DAP tambahan pula peningkatan pengundi keluar mengundi iaitu sebanyak 89.1 peratus berbanding anggaran di seluruh negara antara
70 dan 80 peratus yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain Gelang Patah, calon DAP juga menang di Kluang, Bakri dan Kulai, bagaimanapun tewas di Labis dan Tanjong Piai.

Pada PRU 2008, DAP menang 28 kerusi parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bagan dengan majoriti 34,159 undi serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air
Puteh dengan majoriti 7,700 undi.

Berikutan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow mengumumkan peletakan jawatan beberapa jam selepas keputusan pilihan raya diumumkan kerana bertanggungjawab terhadap kegagalan BN merampas semula kerusi negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Di Kuala Lumpur, DAP menang semua lima kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu di
Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.

Di Perak, semua tujuh calonnya menang dengan margin selesa di kebanyakan
kerusi Parlimen majoriti Cina iaitu Taiping, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar dan Telok Intan.

Selangor juga menyaksikan DAP mengekalkan penguasaannya di Puchong (Gobind
Singh Deo), PJ Utara (Tony Pua) dan Klang (Charles Santiago). Pendatang baru,
Ong Kian Ming juga berjaya menewaskan Datuk Yap Pian Hon (BN) di Parlimen Serdang.

Di Melaka, calon DAP, Sim Tong Him mengekalkan kerusi Parlimen Kota Melaka,
namun kalah di Alor Gajah menerusi Damian Yeo Shen Li, serta kekal di Seremban
dan Rasah.

Di Sabah, DAP memenangi kerusi Kota Kinabalu dan Sandakan, namun kalah di
Sepanggar dan Putatan.

Di Sarawak, pengundi terutama di Bandar Kuching, Stampin, Lanang, Sarikei
dan Sibu, memilih calon DAP sebagai wakil rakyat mereka di Parlimen, manakala BN
menguasai Mas Gading, Serian, Mukah, Kapit, Bintulu dan Lawas. – Roketkini.com