Rencana

Ke Piai Bahagian 2 Oleh Mazir Ibrahim

ADA yang berhujah balas kepada saya, “rasuah…rasuah apa? Kalau dia dapat (rasuah) pun, bukan orang lain, orang kita juga, biarlah…kau tak perlu nak mengadu domba kat sini”.

UMNO telah berjaya membentuk satu kerja seni politik yang cukup hebat. Gerombolan ini berjaya membentuk masyarakat Melayu menjadi Hang Tuah dengan meninggalkan semangat Hang Jebat.

Hang Tuah ini puncak kemuliaan budinya adalah kesetiaan dan ketaatan, ini merupakan nilai yang amat disanjungi oleh kita, apatah lagi bagi Hang Tuah, sebagai seorang pahlawan gagah berani dan dihormati seantero dunia nusantara.

Malah kita amat bersetuju bahawa ini jugalah kretirea penting yang diperlukan sebagai seorang yang memegang amanah besar dari sesebuah kerajaan. Namun, sifat ini jika keterlaluan (ekstrem), ia juga boleh menumbuhkan sejenis penyakit kronik dan keturunan (saka).

Dengan bahasa lebih mudah, benda yang baik itu jika dibuat berlebih-lebihan, akhirnya ia menjadi buruk juga adanya.

Ketaatan atau kesetiaan yang keterlaluan boleh membunuh akal waras hingga hilang pertimbangan rasional atau akal budi sebagai seorang manusia yang waras. Kisah lagenda dalam tamadun Melayu ini telah merakamkan bagaimana fitnah ke atas diri seorang kepercayaan kerajaan, ditelan sebegitu sahaja, baik oleh beliau sendiri (Hang Tuah) dan juga pihak pegawai kanan istana (Bendahara) dan sekelilingnya tanpa sebarang kesedaran untuk menyemak kembali tuduhan itu.

Atas alasan taat dan setia, maka fitnah bermaharalela hinggakan, mereka (Jebat) yang hendak menegakkan keadilan itu dilihat dan digambarkan sebagai sesuatu yang buruk atau penderhaka.

Apakah ini rasional akal namanya? Namun, sejarah sudah berlaku dan berlalu.

Di mana jua kita berada, dalam apa jua zaman kita wujud, nilai buruk itu tetap buruk, batil tetap batil, jadi bagaimana mungkin nilai baik (menegakkan keadilan) boleh digarap sebagai nilai yang buruk (menderhaka)?

Zaman ini atau lebih tepat lagi zaman rejim Najib Razak. Bagaimana rasuah boleh ditukar nilai buruknya itu menjadi ‘komisyen’ yang seakan halal dan sah di sisi undang-undang?

Adakah Melayu UMNO sedar bahawa kesultanan Melaka jatuh ditangan penjajah juga berpunca daripada kelemahan dalaman mereka sendiri yang telah rosak dengan politik rasuah yang membabitkan ramai pembesar istana. Ini berlaku antara pembesar istana dan pedagang yang licik.

Melayu UMNO hanya mampu melihat di luar yang si jahat itu hanya penjajah ‘Benggali Putih’ (Portugis) tetapi gagal melihat punca dalaman yang sebenar yang mana korupsi banyak berlaku di kalangan pembesar Melayu yang melingkari kuasa istana. Akibat korup dan rasuah maka kerajaan Melaka lemah daripada dalam, dan apabila datang kuasa luar (asing), dengan mudah sahaja kuasa asing ini meratah dan menjarah tanah sebuah kerajaan yang besar dan penting ketika itu.

Kisah penentangan Hang Jebat ini bukan soal penentangan terhadap raja, tetapi ia adalah manifestasi penentangan antara moral dengan kejahatan. Dalam zaman ini ia dapat diterjemah sebagai penentangan rakyat terhadap kerajaan yang rasuah.

Bagi orang Melayu, mereka dijauhkan daripada belajar nilai yang dibawa Hang Jebat. Mereka dijauhkan daripada memahami dan menjadi berani sebagaimana sifat yang ditunjukan Si Jebat. Kini masih ada segelintir mereka yang menganggap rasuah itu tak mengapa (tak salah) kerana namanya komisyen. Dan yang mendapat komisyen itu adalah di kalangan mereka juga, maka ia halal dan tidak dilihat buruk.

Namun, dalam rentetan babak ini, saya tetap percaya bahawa lebih ramai lagi rakyat khususnya kaum Melayu mula sedar bahawa rasuah ini bukan sahaja merosakkan diri kita malah ia akan meruntuhkan jati diri kita sebagai sebuah bangsa yang hebat dan bermaruah.

Jebat, seorang Melayu yang hebat. Hang Nadim juga seorang yang hebat, Panglima Awang juga seorang yang hebat..rakyat Tanjong Piai juga termasuk sebagai warga yang hebat. Jika tidak, masakan saya mendapat sokongan yang hebat.

Dalam perjuangan di zaman menentang bala rasuah, ia juga mengingatkan saya kepada Martin Luther King, katanya “Only in the darkness can you see the stars.” (Hanya di dalam gelap sahaja kamu bisa melihat bintang). – Roketkini.com