Berita

‘Tsunami Cina’: Najib hina hak demokrasi, perlihatkan hipokrasi ‘1Malaysia’

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalahkan ‘tsunami Cina’ bagi kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu amat dikesalkan.

Ternyata Najib tanpa segan silu sanggup menghina pengundi Cina dengan menghina hak demokrasi mereka untuk memilih sesiapa saja yang mereka mahu sebagai pemimpin.

Setiausaha Eksekutif Biro Pendidikan Politik DAP, Mahdzir Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata, tindakan Najib itu boleh menimbulkan kegusaran yang bakal mencetuskan episod perkauman yang berpanjangan.

“Peratusan undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat secara keseluruhan 49.96% bersamaan 5.624 juta pengundi manakala Barisan Nasional (BN) memungut 48.6% bersamaan 5.328 juta pengundi menunjukkan majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum cenderung untuk menyokong Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

“Ini adalah isyarat jelas menunjukkan bahawa bukan saja pengundi Cina memilih untuk bersama Pakatan Rakyat tetapi pengundi Melayu, Cina dan India juga bersepakat menolak kepimpinan Barisan Nasional (BN),” tambahnya.

Menurut beliau lagi, sikap melabel pengundi Cina sebagai penyokong Pakatan Rakyat menunjukkan sikap tidak prihatin terhadap majoriti rakyat Malaysia yang benci agenda perkauman sempit.

“Hal ini meyakinkan lagi bahawa gagasan 1 Malaysia yang selama ini dilaungkan Najib adalah pernyataan hipokrit. BN sebagai gabungan komponen parti politik sebenarnya tidak penah menghayati falsafah di sebalik moto ‘1 Malaysia’ yang menjanjikan pertumbuhan sosial yang inklusif dan intergrasi perpaduan di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum,” kata beliau.

Menurut Mahdzir yang juga merupakan calon DAP bagi Parlimen Tanjung Piai pada PRU-13 lalu, kempen BN yang cuba memainkan sentimen perkauman ke atas pengundi kawasan Melayu dengan menuduh DAP parti politik berasaskan fahaman ‘cauvinis Cina’ dan ‘anti Raja-raja Melayu’ jelas menunjukkan bahawa BN begitu terdesak untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan bermacam ugutan pada sepanjang tempoh kempen itu.

“PR baik daripada PAS, PKR dan DAP nyata sebulat suara menentang agenda perkauman sempit yang dilihat sebagai taktik terdesak sesetengah pihak untuk mengukuhkan lagi hagemoni kekuasaan mereka,” ujarnya sambil menambah bahawa PR menawarkan agenda politik baru yang berteraskan hujah dan polisi awam demi kebajikan rakyat Malaysia.

“Taktik untuk menakutkan orang Melayu dengan sentimen perkauman menunjukkan BN cuba menghasut rakyat Malaysia dengan menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum,” katanya. – Roketkini.com