Rencana

Giliran DAP dihimpit BN Oleh Adil Mat Selamat

PILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudah melabuhkan tirainya 5 Mei lalu. Keputusan telah dibuat rakyat. Namun hingga kini seluruh rakyat Malaysia merasa pelik. Kedua-dua belah pihak tidak membuat apa-apa sambutan.

Ini kerana penyokong atau pengundi Pakatan Rakyat (PR) seperti tidak percaya bahawa PR masih belum dapat menjejakkan kakinya ke Putrajaya sedangkan PR mendapat jumlah undi popular tertinggi berbanding BN. Di pihak BN pula, tiada apa-apa keraian kerana mereka menang dalam kalah. Pencapaian Najib lebih teruk berbanding Pak Lah yang ditendangnya keluar. Jadi bagaimana helah Najib sekarang?

Yang nyata DAP mendapat jumlah kerusi Parlimen lebih kali ini. Namun, DAP tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, ini pastinya bertolak daripada rasa setia kawan (solidariti) dan hormat atas ketokohan Anwar sungguhpun PKR mendapat hanya 30 kerusi, jumlah kedua tertinggi berbanding PAS yang mendapat 21 kerusi.

BN yang kononnya merasa hebat, hanya disebabkan PR gagal mendapat majoriti kerusi Parlimen. Bukan hebat kerana mereka mendapat dua pertiga kerusi Parlimen. Maka ‘hebat’ BN ini rupa-rupanya indah khabar daripada rupa.

Tidak semena-mena BN yang kalah berlagak menang itu sudah mula ingin menghimpit parti DAP untuk menyertai BN. Sebelum ini BN menerusi UMNO menghimpit PAS, tetapi lamaran itu tidak diterima. Juga kerana kesatuan PR sangat jitu, apatah lagi BN berlainan matlamatnya dengan PR.

Lirik keinginan untuk menjemput DAP menyertai BN bukanlah kerana DAP hebat sangat tetapi kerana MCA sudah longlai. Tidak mampu berdiri sendiri lagi, malah majoriti rakyat tidak lagi merasa sangsi dan takut dengan DAP. Maka dengan muka tidak tahu malu, Zainudin Maidin menjual air liurnya untuk menjemput DAP. Tak ada kelas langsung!

Begitulah BN melayan musuh dan rakannya, dulu apabila PAS mendapat sokongan besar, mereka mencetuskan kerajaan perpaduan. Namun sejarah sudah buktikan bahawa BN hanya akan berkawan atas dasar mahukan kuasa, setelah mendapat kuasa PAS ditendang. Ini sudah menjadi sejarah.

Begitu juga sekarang, oleh kerana MCA gagal, maka parti itu tidak dilihat penting lagi sebaliknya mula menghimpit DAP untuk sekali lagi ‘dijual’. Sayangnya, DAP, PAS dan PKR tidaklah sebegitu mudah untuk termakan dengan pelawaan orang kalah. BN tetap licik, kita tidak lupa.

Baru-baru ini juga BN mencetuskan lagi api perkauman dengan melabel PRU-13 ini sebagai tsunami Cina. Sekarang sudah malu alang, nak berjabat tangan pula dengan DAP. Sungguh memalukan.

Kita sarankan kepada Najib. Anda tidak lagi popular, ini berdasarkan undi yang parti anda dapat, maka letaklah jawatan segera. Anda tidak lagi releven dalam politik Malaysia, sama seperti Tun M. Politik perkauman sudah menjadi sejarah, kini masa untuk rakyat mendepani masa depannya dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai Bangsa Malaysia.

Pakatan dan rakyat akan terus mara.-Roketkini.com