Isu Semasa

Pakatan Rakyat ajak Hishammuddin kerjasama di Johor

KLUANG 21 MEI: Pakatan Rakyat mempelawa Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bekerjasama menjana ekonomi penduduk di Johor, termasuk menaiktaraf sistem pengangkutan keretapi bagi menggalak aktiviti pelancongan di negeri itu.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol, Tan Hong Pin dan Yang di-Pertua PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam kenyataan bersama mereka turut mengalu-alukan pelantikan Ahli Parlimen Sembrong itu.

Mereka juga berharap Hishammuddin akan terus memegang portfolio pengangkutan untuk selama mana MCA tidak dapat kembali bersatu bagi membaiki sistem pengangkutan di negerin itu.

Katanya, daerah Kluang, sepatutnya lebih beruntung sekiranya Hishammuddin mengambil serius portfolio keduanya untuk menjadikan Kluang daerah kedua maju seperti Iskandar Malaysia.

Sehubuingan itu, mereka bercadang bertemu Hishammuddin bagi membincangkan beberapa perkara itu untuk sama-sama memajukan daerah Kluang yang berpotensi menyerlahkan sebagai ‘Iskandar Malaysia kedua’ di Johor yang boleh dihubungkan melalui keretapi,” ujar mereka.

“Jika hasrat itu dilaksana, seluruh daerah dapat dihubungkan dan akan membantu pelbagai sektor ekonomi, terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan.

“Seandainya perkhidmatan keretapi nasional berada dalam keadaan lebih baik, kami menjangkakan selain Iskandar Malaysia, Kluang juga akan turut menikmati pembangunan,” kata mereka.

Tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat berkenaan bercadang mengadakan temujanji dengan Hishammuddin untuk membincang perkara itu secepat mungkin.

“Kami juga akan berbincang dengan Hishammuddin mengenai isu pampasan bagi penduduk yang mungkin terkesan dengan apa jua projek menaiktaraf landasan keretapi itu nanti,” ujar mereka.

Daerah Kluang terdiri daripada kawasan yang dikelilingi pekan, termasuk Paloh, Chamek, Mengkibol, Renggam dan Layang-layang yang semuanya kawasan itu boleh dihubungkan melalui landasan keretapi sedi ada. – Roketkini.com