Rencana

Pasca PRU-13: Demokrasi akan mekar atau layu ? Oleh Mahdzir Ibrahim

PRESTASI Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu sebenarnya tidak lebih baik daripada kekalahan dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU-12. Tetapi kali ini BN menggambarkannya sebagai ‘kemenangan’.

Pakatan Rakyat (PR) pula digambarkan sebagai kalah kerana hilang Kedah dan gagal merampas Perak sedangkan kerusi Parlimen PR meningkat. Silap mata ini sekadar menyedapkan hati juak-juak UMNO, itu sahaja.

Pola pengundian

Jika membaca hujah bekas Ahli Parlimen Temerloh, Sdr. Saifudin Abdullah yang tewas baru-baru ini, beliau memberi analisis bahawa terdapat dua jenis pola pengundi. Mereka yang mengundi atas dasar pembangunan (politik pembangunan – jalan raya-letrik-api-air-infrastruktur) dengan mengundi atas faktor demokrasi (politik demokrasi – kebebasan-keadilan-ketelusan-kecekapan-polisi yang lebih baik).

Kawasan yang mungkin boleh ditafsir sebagai kawasan bandar (urban) umumnya dapat dilihat sebagai kawasan yang mengundi atas faktor demokrasi. Kerana umumnya kawasan Bandar sudah membangun malah di sesetengah kawasan sudah sesak dan tidak lagi memerlukan lebih banyak pembinaan. Kawasan ini banyak wujud di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan sebahagian Johor.

Bagi kawasan luar bandar atau yang kurang bandar besar seperti di Pahang, Terengganu, Kelantan, sebahagian Johor, termasuk Sabah dan Sarawak. Kawasan ini dilihat sebagai kawasan mengundi atas faktor pembangunan. Lojiknya kawasan ini agak kurang moden dalam aspek gaya hidup, sistem pengurusan dan infrastruktur.

Barangkali analisis ini ada rasionalnya apabila melihat PR menyapu bersih sebahagian besar kerusi DUN dan Parlimen negeri bandar besar seperti Pulau Pinang dan Selangor. Bagi kerusi DUN, DAP sahaja menyapu bersih di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Taburan kawasan ini jelas di sekitar kawasan bandar.

Dan agak berbeza dengan kawasan yang kurang bandar besar dan banyak kampung. Lihat saja di beberapa kawasan di Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak, kawasan ini pencapaian PR belum mampu menumbangkan BN.

Namun, purata kekalahan PR di kawasan luar bandar tidak lagi seperti sebelumnya. Buktinya, kerusi DUN semakin bertambah, bagi kerusi DUN yang tewas, tidak ada satu pun yang kehilangan wang deposit, malah majoriti undi kepada BN sendiri semakin mengecil.

Adakah ini menunjukkan bahawa kempen PR berjaya atau kempen BN gagal? Atau hanya kerana faktor pengundi baru atau muda?

Belajar daripada realiti

Apa jua faktornya, terpulang bagi mereka cara mana yang ingin ditanganinya.

Apabila kita menjayakan kempen secara konsisten, kreatif, mudah difahami dan mesra maka kesannya amat berbeza. Penerimaan masyarakat juga berbeza, rasa takut, was-was boleh bertukar menjadi ceria. Kesan ini akan menjanjikan ruang demokrasi yang lebih baik lagi. Daripada segi saiz, lebih mudah menjadi lebih luas, daripada segi intipatinya akan menjadi lebih terarah dan sarat dengan informasi. Ini realiti yang menjanjikan pasca PRU-13.

Dengan dialog secara santai, mengupas isi bahan kempen dan menjawab sebarang persoalan secara langsung akan menjadikan kempen tidak lagi terlalu formal, ia sudah menjadi acara perkongsian maklumat. Bukan lagi kempen yang ‘kempen’.

Namun ia pastinya memakan masa dan tenaga. Tetapi barang kali inilah politik, ia bukan kerja bermusim. Demokrasi perlu disemai, dibaja dan dijaga. Maka saya percaya bahawa demokrasi dalam aspek amalan di peringkat umum sudah semakin baik dan menjanjikan lebih banyak peluang. Tinggal lagi, sejauh mana dan sekuat mana kita mengisi peluang ini dengan kerja demokrasi yang lebih baik dan betul. Dan sejauh mana kerajaan BN membuka ruangnya.

Pemerkasaan demokrasi bukan sahaja bersifat teori, falsafah atau undang-undang teknikal sahaja sebaliknya ia satu amalan. Bagaimana kita boleh memperkukuh demokrasi tanpa menyebutnya dengan perkataan?

Bagaimana kita boleh memberi kefahaman yang mudah dan jelas mengenai isu rasuah, korupsi tanpa mengutuk sesuatu pihak atau individu?

Hanya dengan melakukan kerja demokrasi yang praktikal saja boleh memberikan jawapannya.
Tanpa kerja demokrasi, tidak mungkin rakyat akan menjemput kita membuat wacana, tidak mungkin masyarakat berminat mahu dialog hatta berborak mengenainya. Demokrasi perlu dipromosi dengan kerja, bukan dengan kain sepanduk atau slogan dalam ceramah. Kerja demokrasi perlu ada hukum tawaran dan permintaan (supply and demand), barulah aktiviti demokrasi boleh berjalan. Dengan memahami kekangan masa maka kita akan bergerak secara bijaksana. Kita harap, kita tidak perlu lagi menunggu sebab untuk menggerakkannya.-Roketkini.com