Berita

Zahid Hamidi mangsa tipu bilik perang UMNO/BN

GELANG PATAH, 28 MEI: Menteri Dalam Negeri baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah contoh terbaik menjadi “mangsa sendiri” penipuan “bilik perang” PRU-13 UMNO/BN mengenai DAP membelanjakan lebih satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 tentera siber “Red Bean Army” bagi memburuk-burukkan dirinya dan pemimpin UMNO/BN lain.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata, ini sekali lagi digambarkan Utusan Malaysia hari ini, satu daripada alat utama propaganda UMNO/BN pada PRU-13, yang menyiarkan laporan bertajuk “Red Bean Army serang kerajaan – Ekoran DAP gagal peroleh kuasa di Putrajaya”.

“Saya tidak percaya Zahid mengalami sebarang halusinasi tentang DAP membelanjakan lebih daripada satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 tentera siber “Red Bean Army” bagi memburuk-burukkannya dan pemimpin UMNO/BN lain.

“Perkara paling baik seorang boleh katakan mengenai Zahid adalah dengan menganggapnya sebagai “mangsa sendiri” penipuan “bilik perang” UMNO/BN mengenai DAP membelanjakan lebih daripada satu bilion ringgit sepanjang enam tahun lalu untuk mengupah seramai 3,000 tentera siber “Red Bean Army” untuk memburuk-burukkannya dan pemimpin UMNO/BN lain,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Zahid menjadi dua kali kurang bijak iaitu pertama, kerana percaya dengan penipuan strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN yang bertujuan mengelirukan dan membingungkan kem musuh dan kedua, kerana menjadi satu-satunya menteri yang secara umumnya dikenali dengan dakwaan mengenai dongeng “Red Bean Army” DAP.

Menurutnya, jelas Zahid tidak bijak langsung untuk mempercayai pembohongan yang dimulakan orangnya sendiri.

Beliau berkata, strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN sudah tentu mempunyai kepentingan sendiri untuk mengekalkan penipuan yang mereka cipta pada PRU-13 mengenai Pakatan Rakyat bagi menjustifikasikan kegagalan mereka merealisasikan ramalan angkuh bahawa UMNO/BN akan memenangi PRU-13 dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, beratus juta ringgit sudah ditabur secara langsung atau tidak langsung dalam kempen media yang amat besar membabitkan media cetak, televisyen, papan iklan, laman atas talian dan sekumpulan besar tentera siber UMNO/BN, baik “Belacan Army”, “Ikan Bakar Army”, “Cincin Army” atau “Petai Army”.

“Pembohongan mengenai dongeng “Red Bean Army” DAP yang terus menerus dilemparkan Zahid telah mencuit rasa ingin tahu saya lalu membuatkan saya mencari mengenainya dan mendapati pembohongan, mitos dan lagenda mengenai dongeng “Red Bean Army” DAP ditulis dengan meluas di dalam media UMNO/BN, terutamanya Utusan Malaysia, New Straits Times dan Star sebelum hari mengundi, pada 5 Mei lalu dan pada minggu berikutnya.

“Contohnya, beberapa hari sebelum mengundi, New Straits Times menyiarkan sebuah artikel bertajuk “Beware of DAP’s cyber troopers (Berjaga-jaga dengan tentera siber DAP)” yang menyebut: Berjaga-jaga dengan tentera siber yang ditaja DAP, dikenali sebagai Red Bean Army, yang bersiap sedia mencetuskan kekacauan di ruang siber.

“Saya betul-betul terkejut dan terkesima apabila seorang Menteri Kabinet senior dan pemimpin UMNO dengan lagak mahu menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri satu hari nanti boleh mempercayai sampah sedemikian yang datang daripada strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN,” tambahnya.

Menurut Kit Siang, mengambil purata RM5,000 sebulan (dakwaan gaji bulanan RM3,000 dan RM8,000 sebulan) untuk 3,000 tentera siber yang kononnya dinamakan “Red Bean Army” DAP akan menghasilkan satu perbelanjaan besar RM15 juta sebulan atau RM180 juta setahun – dan jumlah yang sukar dibayangkan sebanyak RM1.08 bilion dalam tempoh enam tahun.

Katanya, Zahid percaya DAP mampu membelanjakan RM1.08 bilion dalam tempoh enam tahun untuk mengupah 3,000 tentera siber di dalam “Red Bean Army” bertujuan memburuk-burukkan pemimpin UMNO/BN.

“Zahid tentu gila untuk mempercayai perkara karut sebegitu, tetapi dia saban hari melahirkan keyakinan mengenai 3,000 tentera siber berbayar yang digelar “Red Bean Army” sebagaimana disiarkan Utusan Malaysia hari ini.

“Apabila Menteri Kabinet senior dan pemimpin UMNO seperti Zahid menampakkan dirinya sebagai seorang yang tidak signifikan yang begitu mudah tertipu apabila mempercayai pembohongan dari strategis dan propagandis “bilik perang” UMNO/BN, bagaimana rakyat mahu yakin pada kewibawaan, kualiti dan kecemerlangan Kabinet Najib untuk memperjuangkan transformasi nasional, untuk menggerakkan kerukunan nasional atau membawa negara kepada pembangunan pada tahap lebih tinggi,” ujarnya.-Roketkini.com