Isu Semasa

Hanya IPCMC mampu elak kes tahanan mati dalam lokap

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hanya dengan menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) kes tahanan mati dalam tahanan polis dapat dielakkan.

Katanya, ini berikutan kematian ketiga tahahan dalam lokap dalam masa 11 hari iaitu Karuna Nithi mati di lokap polis Tampin, dua hari lalu, sebelum itu R James Ramesh mati di lokap polis Pulau Pinang pada 26 Mei lalu, dan N Dhamendran yang dibunuh kejam dengan 52 kecederaan sewaktu ditahan di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur, 21 Mei lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jumlah kematian dalam tahanan sejak 2000 ialah 219, satu angka yang mengejutkan dan pasti akan bertambah jika tanpa sebarang langkah dan mekanisme untuk menghalang kecuali menubuhkan IPCMC.

“Tidak ada sebab kenapa Kerajaan Persekutuan BN tidak bersetuju dengan pengawasan pihak polis sedangkan ia dicadang oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap pasukan polis pada 2005.

“Walaupun beberapa kematian dalam tahanan mungkin disebabkan faktor semula jadi, orang awam akan terus curiga dengan cara soal siasat polis, kecuali jika pihak polis bersih dan dipastikan tidak korup.

“Hanya satu mekanisme yang telus dan akauntabel seperti IPCMC boleh mengembalikan keyakinan orang ramai dan memastikan tahanan polis selamat. Jika tidak, rakyat akan terus mengalami mimpi ngeri bahawa jika ahli keluarga mereka ditahan polis, orang yang ditahan mungkin mati dalam tahanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, orang ramai telah putus harapan dengan Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang nampaknya tidak berminat memerangi jenayah tetapi lebih menumpukan untuk menggunakan cara yang kasar dan tegas untuk membisukan suara yang tidak bersetuju dengan pihaknya.

Katanya, walaupun mereka rakyat yang patuh kepada undang-undang yang menuntut pilihan raya yang bebas, adil dan bersih tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pemimpin MIC atau MCA perlu berani mengotakan janji dengan menyokong penubuhan IPCMC di dalam dan luar Parlimen.-Roketkini.com