Berita

Halang pemimpin PR masuk Sabah bermotif politik

KOTA KINABALU, 4 JUN: Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin mahu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menjelaskan kesahihan ‘laporan bocor’ Jabatan Imigresen mengenai penyenaraian hitam beberapa nama pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan NGO daripada memasuki negeri itu.

Menurut beliau, laporan bertarikh 21 Mei lalu itu adalah arahan yang dikeluarkan sendiri oleh pejabat Ketua Menteri Sabah kepada Jabatan Imigresen Negeri Sabah.

“Nama pemimpin yang diharamkan memasuki Sabah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

“Dalam maklumat laporan itu kami dapati Kabinet Negeri memberi persetujuan kepada Ketua Menteri untuk menggunakan kuasa penuhnya mengikut Akta Imigresen atas nasihat Ketua Cawangan Khas Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mendedahkan lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, keputusan menyenarai-hitamkan nama pemimpin PR itu dibuat dalam satu mesyuarat Kabinet Negeri Sabah SIRI 8/2013 pada 15 Mei lalu.

Mengulas pengusiran mengejut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Khamis lalu, Wong berkata ianya hanya akan menjadikan oposisi semakin kuat dan terkenal di negeri itu.

“Saya rasa kita mungkin boleh bersetuju dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin yang menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah telah membuat ‘kesilapan besar’ menghalang kemasukan Nurul Izzah,” kata beliau.

Sebelum ini, Pengarah Imigresen Negeri, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dilaporkan media berkata, bahawa jabatan itu cuma mengikut arahan kerajaan negeri.

“Tidak kiralah bagaimana sekali pun Musa Aman memberi penjelasan bahawa perkara ini tiada kaitan dengan politik, daripada lenggok bahasanya kita dapat mesej yang jelas ianya memang satu tindakan bermotif politik.

“Kita sudah tahu, rakyat tidak perlu tunggu sehingga tiga hari untuk beliau jelaskan,” kata Wong lagi.-Roketkini.com