Berita

Kit Siang juga tidak dibenar masuk Sabah

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Salinan surat rasmi daripada pejabat Ketua Menteri Sabah didapati berlegar di media sosial, menyenaraikan nama mereka yang akan dihalang daripada menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu itu.

Surat bertarikh 21 Mei lalu yang ditujukan kepada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah itu menyenaraikan lima nama yang diputuskan dalam satu mesyuarat Jemaah Menteri Sabah siri 8/2013 pada 15 Mei lalu 2013.

Menurut surat itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Ketua Menteri menggunakan kuasa mutlaknya mengikut Akta Imigresen selaras dengan perakuan Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Sabah untuk tidak membenarkan lima individu terbabit datang ke negeri Sabah.

Lima individu terbabit ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, dan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Bagaimanapun nama Nurul Izzah disalah eja sebagai ‘Nur Izzah’ manakala nama Rafizi dieja sebagai ‘Rafifi’ dalam surat rasmi Pejabat Ketua Menteri Sabah itu.

Lim Kit Siang melalui akaun media sosial Twitternya berkata, larangan itu mengingkari Seksyen 67 Akta Imigresen, yang menyatakan secara jelas hak asasi setiap warganegara untuk melawat Sabah atas sebab aktiviti politik yang sah di sisi undang-undang.

Menurutnya lagi, tindakan terbabit adalah suatu salah guna kuasa di pihak Ketua Menteri Sabah, yang pastinya akan dicabar di mahkamah.

30 Mei lalu Nurul Izzah dihalang daripada memasuki Sabah dan dihantar pulang tanpa dibenarkan bertemu peguam.

Februari lalu sekumpulan pengganas bersenjata dari kepulauan Sulu mendarat di Lahad Datu dan menuntut supaya Sabah dikembalikan kepada Kesultanan Sulu sambil bertempur dengan pihak keselamatan dan merosakkan harta benda awam. Kumpulan militan terbabit berjaya lolos ke perairan Sabah dan mendiam di Lahad Datu untuk beberapa minggu sebelum Kerajaan Malaysia bertindak terhadap mereka. – Roketkini.com