Berita

UMNO enggan buka ahli kepada semua kaum

KUALA LUMPUR, 3 JUN:  Keengganan UMNO membuka keahlian kepada semua rakyatMalaysia bermakna tidak akan ada satu parti pun daripada Barisan Nasional (BN) menjadi inklusif untuk semua kaum.

Sekaligus slogan 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak bermakna langsung kecuali satu propaganda untuk pilihan raya yang akhirnya akan terbuang apabila BN memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak walaupun kalah undi popular.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Ketua Penerangan UMNO merangkap Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa adalah mustahil bagi UMNO menjadi sebuah parti tunggal untuk semua rakyat Malaysia membuktikan UMNO mahu terus memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum demi memelihara kekuasaan mereka.

“Lebih 50 tahun BN yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC telah memecahbelahkan Malaysia menurut kaum demi menghalalkan salah guna kuasa mereka, terutamanya rasuah, kapitalisme kroni dan penafian atau menghalang hak asasi manusia.

“Walaupun BN pertama kali dalam sejarah kalah undi popular pada Pilihan Raya Umum 2013 dengan hanya 47% berbanding 53% undi popular yang diraih Pakatan Rakyat, UMNO masih enggan menerima hakikat penolakan keras masyarakat terhadap politik perkauman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Pakatan Rakyat memenangi undi orang Melayu bandar dan anak muda Melayu dengan majoriti jelas iaitu di peringkat nasional, Pakatan Rakyat memenangi 43% undi orang Melayu.

Menurutnya, mesej perkauman UMNO tidak mampu melampaui rasuah dan salah guna kuasa yang ia lakukan dan ini bermakna rakyat Malaysia daripada semua kaum memberikan mesej lantang dan jelas pada PRU-13 lalu bahawa mereka mahu menjadi ‘Malaysian first’, di mana rakyat mendahului kroni, prinsip dan polisi yang baik dilihat lebih penting daripada kebencian dan ketakutan.

Katanya, sebaliknya UMNO terus berpaut kepada ideologi melampau Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang memecah-belah dan menghancurkan, “Melayu pertama, Malaysia seterusnya” (Malay first, Malaysian second). Menjadi ‘Malaysian first’ tidak bermakna jika kehilangan identiti Melayu, Cina, Dayak, Kadazan atau India tetapi bermakna kita menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara seperti yang termaktub dalam lagu kebangsaan kita, ‘Negaraku’.-Roketkini.com