Berita

DAP tidak pinggir masyarakat India, berjuang untuk semua kaum

IPOH, 4 JUN: Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran menempelak tuduhan tidak berasas bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang mendakwa DAP tidak bersungguh-sungguh membela nasib kaum India tidak wajar dilayan.

Menurut Kulasegaran, dakwaan Gobalakrishnan itu langsung tidak berasas kerana DAP berjuang untuk semua kaum termasuk masyarakat India dan tidak meminggir mana-mana kaum yang menyertai parti itu sejak sekian lama.

“Dasar parti sangat jelas iaitu Malaysia untuk rakyat Malaysia. Isu itu sepatutnya tidak timbul kerana DAP bukan parti berasaskan kaum seperti UMNO, MIC atau MCA,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pada muka surat lapan memetik kenyataan Gobalakrishnan yang mahu masyarakat India sedar bahawa DAP mengabaikan nasib serta kepentingan kaum itu walaupun diasaskan oleh C V Devan Nair yang berketurunan India.

Sehubungan itu, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat hairan bagaimana seorang yang ‘tidak berparti’ seperti Gobalakrishnan boleh membuat dakwaan sedemikian sedangkan ahli parti berketurunan India sendiri tidak pernah membangkitkan perkara berkenaan.

“Siapa Gobalakrishnan untuk persoalkan perkara itu? Adakah Gobalakrishan tidak sedar bahawa DAP mempunyai wakil rakyat berketurunan India terbesar berbanding parti politik lain sejak Pilihan Raya Umum 2008.

“Kami juga mahu tanya siapa sebenarnya yang tidak membela orang India sejak berpuluh-puluh tahun merdeka? MIC atau DAP?

“Sekarang DAP semakin diterima ramai rakyat Malaysia. Bukan sahaja ada wakil rakyat daripada orang Cina dan India tetapi juga orang Melayu. Ini kerana dasar perjuangan DAP melangkaui batas kaum,” kata beliau lagi.-Roketkini.com