Isu Semasa

Drama Interlok: Menteri bakal bunuh ‘kerukunan nasional’ Najib

IPOH, 10 JUN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diminta tidak hipokrit mencabar “kerukunan nasional” yang dicanang mereka sendiri berikutan kontroversi 13 siri drama yang akan diadaptasi daripada novel Interlok dan bakal ditayangkan RTM.

Lebih memeranjatkan ramai pihak apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa isu Interlok adalah berkaitan dengan perkataan tertentu dan bukannya jalan cerita, tema dan lain-lain.

Menurut Ahmad Shabery, apabila buku diterjemah dalam bentuk drama atau filem, tidak semestinya segala (kandungan buku) akan dikeluarkan. Isunya (adalah) perkataan tertentu yang (dipertikai), bukan jalan cerita dan bukan temanya.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran berkata, kenyataan menteri itu seolah-olah beliau tidak peduli dan tidak peka terhadap perkara yang berlaku.

“Apabila kontroversi Interlok meletus, bukan saja cadangan kerajaan untuk menghapuskan beberapa perkataan yang tidak sesuai ditolak, malah kerajaan menarik balik novel itu daripada dijadikan buku teks sekolah,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kontroversi Interlok bukan saja membabitkan beberapa perkataan yang tidak sesuai malah keseluruhan jalan ceritanya sendiri ‘mempromosi’ perkauman dan amat tidak sesuai dalam membina kerukunan nasional.

“Sampai bila rakyat Malaysia harus hidup dalam bayang-bayang perkauman? Bila Interlok menjadi kontroversi pada 2010, ianya bukan sahaja membabitkan masyarakat India malah turut membabitkan masyarakat Cina,” kata Kulasegaran.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu memberi contoh watak Kim Lock sebagai “penagih tegar candu dan penzina” manakala anaknya, Cing Huat pula sebagai “licik, tamak, tidak bertanggungjawab dan seseorang yang gembira menjual anak perempuannya.”

Kulasegaran juga memetik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang bahawa “Kerukunan nasional amat perlu demi menghapuskan ekstrimisme dan perkauman,”.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku tidak seperti yang dicanangkan Najib,” ujar beliau.

Baru-baru ini NGO Pasukan Bertindak India Nasional (NIAT) yang dipengerusikan oleh Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim mempersoalkan agenda RTM yang akan menayangkan siri drama itu.

Beliau turut menggesa agar penggambaran siri drama itu dibatalkan yang mana didakwa akan bermula pada 1 Julai ini atau pihaknya sendiri akan bertindak menggagalkan penggambaran itu.-Roketkini.com