Rencana

Cina-Cina-Cina: Mahathir memang tak faham maksud RAKYAT

DULU bila ramai orang Melayu turun berdemonstrasi ke jalan raya, Tun Dr Mahathir kata ‘Cina tepuk tangan’. Sekarang, bila orang Cina kononnya didakwa lebih ramai menyertai perhimpunan, Mahathir kata sebabnya ‘Pakatan ini jelas memberi keuntungan paling besar kepada cauvinis Cina dalam DAP’.

Beginilah, katakan kalau yang ramai datang itu orang India, agak-agaklah apa yang akan dikata Mahathir? Dan, kalaulah yang ramai datang itu pula Melayu, kita sudah boleh teka apa yang akan dikata.

Bagi kita, hujah Mahathir ini didengar boleh, dipakai jangan, dan sebab itu Cabai Burung

nak bertanya barang sepotong dua soalan.

Soalan pertama, siapakah gerangan cauvinis Cina dalam DAP yang dimaksudkan Mahathir? Yang kedua, bagaimana mungkin ada cauvinis Cina dalam DAP sebab perlembagaan dan perjuangan DAP tak sesuai bagi puak seperti itu. Ketiga, jika ada cauvinis Cina dalam DAP, dah lama dia masuk MCA.

Begitu salah, begini pun salah….

Lenggok ayat Mahathir ini saling tak tumpah seperti kisah seorang bapa yang membawa anaknya menaiki keldai.

Maka tersebutlah kisah seorang bapa dan anak di sebuah negeri padang pasir….Bila mereka tiba di sebuah tempat sedang anaknya menunggang keldai manakala si bapa berjalan kaki, orang kampung menuduh si anak itu menderhaka. Tiba di sebuah kampung lain, bila si bapa pula menunggang keldai, orang kata pula si bapa tak kasihankan si anak. Dek kerana menurut kata orang kampung, dua beranak ini mengambil keputusan untuk tidak menaiki keldai. Itu juga dikata orang sebagai bodoh. Ada kenderaan tak mahu naik….

Kesimpulannya, buat begitu dikata orang, buat begini pun dikata orang. Jadi, eloklah kita buat tak peduli saja lagipun siapalah yang tidak kenal dengan Mahathir. Seorang insan yang mendapat anugerah Bintang Pribumi Perkasa Negara daripada Ibrahim Ali.

Bab dakwaan ramai Cina pergi perhimpunan

Walaupun Mahathir berjaya membangunkan Malaysia dengan pembangunan fizikal selama pemerintahannya lebih dua dekad dan masa itu juga negara dilanda krisis rasuah melampau dengan keadaan ekonomi yang tak stabil, beliau nampaknya masih tidak segan silu mengeluarkan kenyataan yang tidak cerdik biar pun masih bernyawa di era kebangkitan K-Pop dan Justin Bieber ini.

Daripada beliau merepek dan makin nampak tidak cerdik, kan elok kalau Mahathir ini memuji orang Melayu yang sudah jadi wakil rakyat dalam DAP. Kan bagus kalau beliau kata Melayu sudah terbuka sebab ramai yang mengundi DAP. Kan lebih bermakna kalau dia menyuruh lebih ramai orang Melayu menyertai DAP agar boleh menang banyak kerusi CEC?

Kalaulah orang Cina lebih ramai daripada Melayu yang berhimpun selepas 5 Mei lalu, apa isunya? Apa pula masalahnya bagi orang Melayu, India, Iban, Punjabi, Dusun, Murut, Melanau?

Agaknya, Mahathir mungkin jarang mengeteh di warung mamak. Walaupun taukeh kedai itu seorang mamak, ramai saja anak Melayu bertandang sampai santak subuh. Tak pula menjadi heboh masyarakat.

Tak wujud isu siapa ramai

Sebenarnya tak wujud isu kaum apa yang ramai turun ke perhimpunan selepas 5 Mei. Ini bukan perhimpunan Melayu Bangkit yang pernah dianjurkan gerombolan ‘cauvinis Melayu’ di Terengganu tahun 2010 lalu. Ini adalah perhimpunan rakyat. “RAKYAT”.

Maksud RAKYAT inilah yang Mahathir susah nak faham sejak dulu lagi. Silalah siapa tolong ajarkan-Roketkini.com