Berita

SPR perlu dirombak, tiga fungsi dilaksana badan berlainan


KOTA KINABALU, 10 JUN: Sudah tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan  sistem pilihan raya dirombak secara menyeluruh serta tiga fungsinya dilaksanakan tiga badan berlainan.

Mengikut urut Perlembagaan, SPR mempunyai tiga fungsi iaitu menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri; menyediakan daftar pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih dan menjalankan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata disebabkan sistem pilihan negara ini amat tidak berkesan dan tidak cekap, demokrasi tidak dapat dijalankan sepenuhnya dan Pilihan Raya Umum ke-13 adalah bukti buat pertama kali dalam sejarah 56 tahun kesahihan Perdana Menteri dan kerajaan diragui secara meluas.

“Negara lain yang mengamalkan demokrasi, ketiga-tiga fungsi itu dijalankan oleh badan yang berlainan dan pendekatan ini boleh dicontohi jika ia membawa kepada sistem pilihan raya yang lebih saksama dan adil.

“Sejak empat dekad yang lalu saya selalu menyebut dalam Parlimen bahawa SPR mempunyai tanggungjawab menurut perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, bukan hanya mengendalikan proses pilihan raya secara mekanikal,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, PRU-13 yang baru selesai mempamerkan betapa politik wang diamalkan secara meluas untuk membeli undi dan mempengaruhi pengundi, tetapi sikap tidak peduli dan tidak endah atau ketidakmampuan SPR mengekang salah laku sedemikian menampakkan SPR gagal dan tidak mampu menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Menurutnya, beribu-ribu kesalahan pilihan raya, termasuk salah laku yang terhasil daripada politik wang, dilakukan dalam setiap pilihan raya umum, tetapi tiada siapa pernah didakwa kerana kesalahan berkenaan.

“Begitu juga media yang tidak bebas, terutamanya apabila kepemilikan dan kawalan kerajaan ke atas saluran radio dan televisyen disalahgunakan, menunjukkan satu lagi kegagalan utama SPR dalam melaksanakan tanggungjawab mengadakan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

“Kita mahu melihat SPR dirombak sepenuhnya dan diberi kuasa dan tanggungjawab penuh untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, termasuk mengambil tindakan untuk mengekang kesalahan seperti politik wang dan liputan media yang tidak seimbang dalam tempoh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya SPR diberi tugas tunggal untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, manakala tugas mendaftar pemilih, menyediakan daftar pemilih dan membuat persempadanan kawasan pilihan raya diberi kepada badan lain.

Katanya, di negara lain, proses pendaftaran pemilih adalah mudah, sedangkan di Malaysia prosesnya amat rumit dan renyah.

Contohnya, di New Zealand, katanya, pengundi boleh mendaftar pada hari sebelum mengundi bagi membolehkan mereka mengundi pada keesokannya; tetapi di Malaysia, SPR mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk mendaftar seseorang pengundi baru ke dalam daftar pemilih dan daftar ini pula dicemari pengundi yang diragui atau pengundi hantu.

Lim Kit Siang berkata, menerusi penggunaan teknologi maklumat, sudah sampai masa untuk Malaysia memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik sebaik saja mereka mencecah umur layak mengundi.

“Negara lain juga mempunyai suruhanjaya yang berlainan untuk persempadanan kawasan pilihan raya. Ini akan membantu SPR mengekalkan sifatnya yang bebas, tidak berpihak dan profesional kerana anggota SPR tidak akan terbabit dalam komplot politik seperti amalan menentukan sempadan (gerrymandering) kawasan pilihan raya yang menguntungkan parti pemerintah.

“Rombakan sistem pilihan raya dan SPR perlu diletakkan pada keutamaan teratas pada sidang pertama Parlimen ke-13 yang akan diadakan pada 24 Jun ini.

“Malah, Suruhanjaya Penyiasatan Diraja harus dibentuk untuk menyiasat perjalanan PRU-13 dan salah satu tugas utama yang harus ditetapkan ialah melihat mengapa PRU-13 gagal mencapai tahap pilihan raya yang bersih, bebas, dan adil, serta mencadangkan langkah segera yang perlu diambil untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem pilihan raya dan SPR.-Roketkini.com