Isu Semasa

Sikap Mahathir mengejutkan, rasis lagakan Melayu dan Cina

KOTA KINABALU, 10 JUN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengejut dan memeranjatkan rakyat Malaysia dengan kelakuannya ketika dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) apabila beliau tampil sebagai satu suara paling ekstrem dan rasis di negara ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pada usia senja, Mahathir sepatutnya menjadi contoh bagi rakyat Malaysia, bukannya menjadi rasis kebanyakan kenyataannya cuba melaga-lagakan antara kaum Melayu dengan Cina.

Katanya, sejurus selepas keputusan PRU-13, 5 Mei lalu diumumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap mengenai keperluan terhadap suatu program “perdamaian kebangsaan”, namun jika dikaji dan disiasat bebas terhadap ucapan dan kenyataan yang dibuat ketika dan selepas PRU-13, beliau tidak sangsi bahawa kajian itu akan mendapati semua ucapan rasis dan cauvinis yang mengapi-apikan ke arah ketegangan kaum dan kebencian lahir daripada pihak UMNO/Barisan Nasional (BN), sama ada daripada pemimpin UMNO/BN atau daripada lidah rasmi dan tidak rasmi mereka, termasuk Mahathir sendiri.

“Jika semua kenyataan rasis dan cauvinistik yang cuba menimbulkan rasa curiga dan perbalahan, sama ada ketika atau selepas PRU-13, lahir daripada pihak UMNO/BN, apakah patut pemimpin UMNO/BN menyalahkan Pakatan Rakyat jika hubungan kaum semakin buruk?

“Pada PRU 1999, pengundi Cina menyelamatkan Mahathir dan UMNO daripada Barisan Alternatif yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia dan PAS, ketika Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta dipenjarakan dalam Penjara Sungai Buloh.

“Mengapa ketika itu Mahathir tidak menuduh pengundi Cina cuba menghapuskan kuasa politik Melayu dan menguasai politik Malaysia?,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Mahathir sepatutnya berhenti daripada menjejaskan Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia yang beliau sendiri perkenalkan dalam tempoh 13 tahun terakhirnya sebagai Perdana Menteri iaitu antara 1991 dan 2003, dan menjadi model bagi rakyat Malaysia jika beliau benar-benar jujur dan serius mengenai Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia.

Sehubungan itu beliau menggesa Mahathir mengutamakan kepentingan negara dan rakyat Malaysia mengatasi kepentingan dan pertimbangan peribadinya.-Roketkini.com