Berita

Kit Siang kesal sikap diskriminasi Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuang sifat “lidah bercabang” dengan ugutan terbuka beliau yang mewakili kerajaan minoriti 47% untuk menghukum pengundi majoriti 51% sebenarnya menggugat dan bukannya mempertahankan institusi utama negara.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hairan bagaimana Muhyiddin boleh menunjukkan sifat “lidah bercabang” dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan pada majlis penghargaan pengundi Barisan Nasional (BN) di Kundang Ulu, Johor.

Katanya, walaupun Muhyiddin mendakwa pengundi telah menyampaikan mesej jelas pada Pilihan Raya Umum ke-13 bahawa mereka mahu kerajaan bersikap lebih tegas dan jelas mempertahankan institusi penting, menguatkuasakan undang-undang, menegakkan perlembagaan, memerangi jenayah secara berkesan dan membasmi rasuah.

Bagaimanapun, beliau berkata, Muhyiddin kemudiannya membatalkan sentimen itu dengan ancaman untuk mendiskriminasi dan menghukum 51% pengundi yang menyokong Pakatan Rakyat serta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memberi kelebihan kepada 47% pengundi yang menyokong BN dan Datuk Seri Najib Razak.

“Pengisytiharan Muhyiddin bahawa kerajaan akan menyalurkan “lebih banyak bantuan” kepada masyarakat yang menyokong BN pada pilihan raya umum lalu dianggap suatu dasar yang bersifat menghukum dengan cara mengabai dan mendiskriminasi majoriti 51% pengundi.

“Ini adalah bukti paling jelas bahawa masih banyak yang perlu Najib lakukan untuk membuktikan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk 47% rakyat Malaysia

“Atau rakyat sedang berdepan dengan keadaan di mana Najib mahu menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, manakala Muhyiddin pula mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk 47% rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah kecewa kerana mereka yang menggugat dan menjejaskan kebebasan, kesaksamaan, dan integriti badan kehakiman dipandang tinggi di peringkat antarabangsa sebelum berlakunya Krisis Badan Kehakiman pada 1988.

“Siapa yang menggugat dan menjejaskan kebebasan, kesaksamaan, dan profesionalisme perkhidmatan awam di Malaysia, termasuk Pejabat Peguam Negara, Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi pencegahan rasuah, sehinggakan rakyat Malaysia hilang keyakinan terhadap kredibiliti, integriti dan wibawa pihak berkuasa berkenaan.

“Siapa pula yang menggugat dan menjejaskan mutu sistem pendidikan Malaysia yang dulunya tinggi daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti, daripada mempunyai sebuah universiti yang diperakui di peringkat dunia kini berada dalam keadaan memalukan kerana tidak ada satu pun universiti Malaysia tergolong dalam senarai 400 atau 500 universiti terbaik di dunia.

Beliau kesal kerana kini Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan ancaman untuk menghukum dan mendiskriminasi 51% pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat, bukannya BN.

Menurutnya, inikah yang dimaksudkan Najib yang mengatakan akan menjadikan Malaysia  demokrasi terbaik di dunia iaitu pengundi dibenar menggunakan hak demokratik mereka untuk mengundi selagi mereka mengundi hanya UMNO/BN.

Kit Siang menganggap Muhyiddin bukan seorang demokrat kerana sanggup mengancam 51% pengundi sedangkan kerajaan hanya mendapat undi minoriti 47% dengan mendiskriminasi dan menghukum majoriti yang menggunakan hak mereka mengikut demokrasi dan perlembagaan untuk menyokong Pakatan Rakyat, bukannya BN.

“Kami minta semua Menteri Kabinet dan parti dalam BN menyatakan pendirian sama ada inilah jenis demokrasi berparlimen yang mereka junjung dan pertahankan iaitu jenis yang hanya menghormati hak rakyat untuk mengundi jika mereka mengundi BN, bukannya Pakatan Rakyat,” katanya.-Roketkini.com