Isu Semasa

PR jangka hadapi cabaran berbeza pada PRU-14

KEPAYANG (SABAH), 10 JUN: Pakatan Rakyat (PR) dijangka menghadapi cabaran berbeza pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana ia mempunyai objektif dua serangkai iaitu memenangi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan merebut Kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, sehubungan itu, beliau mengingatkan pemimpin, ahli dan penyokong DAP serta PR bahawa mereka tidak ada masa untuk berehat sebaliknya segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang gagal pada PRU-13.

Katanya, selain empat kerusi DUN yang DAP miliki, DAP Sabah akan memberikan tumpuan segera terhadap 13 kawasan untuk membantu PR mencapai kedua-dua matlamatnya pada PRU-14.

Menurutnya, kawasan terbabit adalah Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan, Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan Merotai.

“Untuk membantu kempen DAP dan PR di Sabah pada PRU-14, Ahli Parlimen dan ADUN DAP di dalam dan luar Sabah digalak mengambil satu daripada 13 kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat.

“Jawatankuasa Negeri Sabah bersama-sama Teresa Kok, penyelaras CEC bagi Sabah dan Sarawak, akan merangka program terperinci “kawasan angkat” itu yang akan membolehkan lebih daripada seorang wakil rakyat DAP untuk dilantik sebagai wakil rakyat angkat bagi setiap 13 kawasan terbabit.

“Sebagai langkah mula, saya akan mengambil Karanaan sebagai DUN angkat memandangkan saya telah melawat Ranau untuk Pesta Kaamatan Kg Sarapong kelmarin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, matlamat PR di Sabah adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya sepertiga daripada 26 kerusi Parlimen di negeri ini tidak tercapai bagi membolehkan PR mengumpul 33 kerusi Parlimen daripada tiga negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor, untuk membantu mencukupkan kerusi Parlimen yang diperlukan PR menawan Putrajaya.

Beliau berkata, pada PRU-13 lalu, PR hanya berjaya mendapat 14 kerusi Parlimen di tiga negeri “deposit tetap” iaitu tiga di Sabah, Sarawak (6), dan Johor (5) iaitu hanya 16.9% daripada keseluruhan 83 kerusi Parlimen yang dipertandingkan negeri berkenaan bukannya 33.3% seperti yang disasarkan.

Katanya, walaupun sasaran PR mendapat 33 kerusi Parlimen di Sabah, Sarawak, dan Johor tidak tercapai, satu hakikat yang tidak dapat diabaikan berikutan keputusan PRU-13 itu ialah bahawa tiga negeri berkenaan tidak lagi boleh dianggap “deposit tetap” Barisan Nasional )BN), manakala persaingan memenangi hati dan minda rakyat negeri terbabit terbuka sepenuhnya.

“Bagi Sabah, kehadiran pembangkang semakin jelas setelah dua dekad tidak menyaksikan adanya pembangkang yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri Sabah. Kini DUN Sabah dianggotai oleh 11 Adun PR (DAP 4 dan PKR 7) dan seorang daripada Star.

“Bagaimanapun, PRU-13, 5 Mei lalu, memberi pengajaran berharga kepada pembangkang di Sabah, memandangkan BN dapat ditewaskan di empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN jika tidak berlaku perpecahan undi untuk calon pembangkang,” katanya.

Empat kerusi Parlimen itu ialah Kota Marudu, Keningau, Tenom dan Pensiangan, manakala lapan kerusi DUN ialah Kiulu, Kundasang, Paginatan, Tambunan, Liawan, Melalap, Nabawan dan Elopura.

Malah, menurut Kit Siang, jika pembangkang bersatu ia mungkin boleh memenangi 11 kerusi Parlimen (iaitu tiga yang dimenangi, ditambah empat yang terlepas daripada genggaman kerana undi pecah, dan empat lagi kerusi iaitu Beaufort, Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan 26 kerusi DUN (12 yang ada sekarang, ditambah lapan yang terlepas kerana undi pecah dan enam lagi iaitu Tanjong Kapor, Karanaan, Kemabong, Sook, Karamunting dan Tanjong Papat).-Roketkini.com