Berita

Rombak EAIC bukti kerajaan tidak serius tangani salah laku polis

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kesal dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menolak cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebaliknya merombak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Beliau menganggap tindakan itu membuktikan UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak serius dalam menangani salah guna kuasa polis.

Katanya, tambahan pula keberkesanan EAIC sudah lama dipertikaikan, malah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohammad sendiri membidas badan itu sejak penubuhannya pada September 2011 sehingga akhir 2012.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, kes tunggal adalah aduan terhadap seorang pegawai polis pada pertengahan tahun lalu kerana menutup kes selepas tiga hari, namun dalam kes kecil itu, Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar mengakui beliau tidak sedar jika tindakan tatatertib yang dicadangkan agar diturunkan pangkat telah dijalankan atau tidak.

“Kerajaan (UMNO/BN) ternyata tidak serius dalam soal ini kerana mereka hanya meletakkan satu pegawai penyiasat untuk ‘menjaga’ 19 agensi kerajaan. Ini bukti niat mereka menubuhkan EAIC hanya untuk ‘gagal’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pua berkata, penubuhan EAIC hanya bertujuan menutup kesalahan sendiri dan ia tidak menyelesaikan masalah kematian dalam tahanan yang kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.

“EAIC hanya ‘harimau tanpa taring’ yang dilihat sebahagian daripada ‘kerja kosmetik’ menenangkan permintaan orang ramai untuk IPCMC, di samping memenuhi bantahan lantang daripada pasukan polis.

“IPCMC pada 2005 dicadangkan sebagai Suruhanjaya Siasatan Diraja Terhadap Polis Diraja Malaysia jelas sebuah agensi untuk menyemak, mendisiplin dan memupuk lebih profesionalisme dalam pasukan polis. Sementara satu lagi direka untuk menggagalkan objektif itu,” tegas beliau.

Menempelak tindakan itu, Pua menyatakan penolakan IPCMC itu menunjukkan kegagalan UMNO/BN dalam mengenakan tindakan tegas terhadap anggota polis yang melanggar etika kerja.

“Dengan kematian terbaru warganegara Jepun berusia 33 tahun dalam tahanan polis semalam, yang didakwa menggantung dirinya sendiri, ia adalah kematian ke-4 tahanan polis dalam tempoh 14 hari, atau ke-9 pada 2013.

“Berapa banyak lagi kematian akan berlaku dan berapa banyak masa lagi untuk Kabinet mencari langkah berkesan memastikan keseimbangan dan memastikan profesionalisme pihak polis?,” ujarnya.-Roketkini.com