Isu Semasa

Pembohongan Mahathir, Utusan Malaysia tidak dapat sambutan Melayu

KOTA BHARU, 11 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, serangan berterusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Utusan Malaysia terhadap kaum Cina akan menjejaskan kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Dr Mahathir dan lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia terbukti mereka sebagai suara paling rasis dan paling tidak bersemangat keMalaysiaan apabila bersandar pada pembohongan untuk melaga-lagakan Melayu dan Cina.

Menurutnya, dalam tulisan terbaru dalam blog beliau, Mahathir menuduh kaum Cina di Malaysia cuba menghapuskan kuasa politik Melayu dan menguasai politik Malaysia pada PRU-13.

“Kenyataan itu boleh dianggap paling tidak bertanggungjawab dan berasas sepanjang kerjaya politik beliau, sama teruk dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya ketika PRU-13 iaitu saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan “ketegangan kaum” dan menuduh saya mengapi-apikan kaum Cina untuk membenci Melayu.

“Tidak benar langsung tuduhan Mahathir kerana beliau tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan sembarangan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Mahathir juga belum mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa beliau mengapi-apikan kaum Cina di Gelang Patah untuk membenci Melayu, sedangkan dalam semua ucapan sepanjang PRU-13, beliau menggesa semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau negeri, bersatu mengejar Impian Malaysia ke arah membina sebuah Malaysia yang saksama, bebas, demokratik, bersih, makmur dan berdaya-saing.

Menurutnya, pada mulanya beliau amat khuatir memikirkan kesan buruk yang mungkin timbul daripada pembohongan Mahathir terhadap Melayu di Gelang Patah dan Malaysia secara umum.

“Tetapi saya gembira dan berharap masa depan Malaysia semakin meningkat kerana saya dapati pembohongan Mahathir itu tidak mendapat sambutan di kalangan Melayu kerana ke mana saja saya pergi selepas PRU-13, kaum Melayu tanpa mengira latar belakang dan usia tampil menyampaikan ucapan tahniah di atas kejayaan saya di Gelang Patah,” tambahnya.


Jelasnya, kaum Melayu bukan sekadar meninggalkan UMNO, malah yang lebih jauh meninggalkan tinggalkan Mahathir, menunjukkan pengaruh Perdana Menteri paling lama itu semakin merosot.

“Mungkin kerana itu Mahathir dilihat semakin terdesak dengan mengeluarkan lebih banyak kenyataan perkauman yang sembarangan dan tidak bertanggungjawab.

“Mahathir dan Utusan Malaysia perlu menghentikan serangan mereka terhadap kaum Cina, jika tidak kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia akan terjejas sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya Mahathir sedang menguji untuk melihat sama ada Najib akan bersikap lebih tegas selepas PRU-13 dan menjadi pemimpin yang benar-benar akan melaksanakan dasar 1Malaysia atau menjadi Perdana Menteri lebih lemah dan kurang berkesan dengan adanya Mahathir dan Utusan Malaysia yang setiap hari menjejaskan dan memusnahkan dasar 1Malaysia dengan kenyataan perkauman yang tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.-Roketkini.com