Berita

BN jangan lepas tanggungjawab tragedi Jambatan Kedua Pulau Pinang runtuh

GEORGE TOWN, 11 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menubuhkan ‘Jawatankuasa Siasatan Teknikal Bebas’ untuk menyiasat punca tragedi runtuhan binaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pada 10 Jun lalu.

Desakan itu disuarakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berikutan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa sekarang terlalu sulit dan tidak dipaparkan kepada rakyat melainkan di mahkamah, ia sekaligus menghakis kepercayaan rakyat terhadap mereka.

“Rakyat Pulau Pinang sekarang mengalami krisis kepercayaan terhadap projek kerajaan Persekutuan. Kebelakangan ini beberapa kes projek Persekutuan menghadapi pelbagai masalah. Stadium Kuala Terenganu runtuh dua kali, Hospital Shah Alam tidak dapat digunakan, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu yang berkuman, KLIA 2 dan Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang ditunda.

“Dalam tragedi Jambatan Kedua Pulau Pinang kali ini, tugas yang paling utama adalah memulihkan kepercayaan rakyat Pulau Pinang terhadap keselamatan Jambatan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh meliputi pelbagai aspek.

“Siasatan harus mengambil kira soal reka bentuk, perancangan, pembinaan, acuan, bahan binaan, prosedur pembinaan, kecekapan tenaga kerja, penyeliaan teknikal, pengurusan serta lencongan trafik dan pelan.

“Jawatankuasa juga perlu menjalankan siasatan secara telus dengan mengadakan pendengaran awam (public hearing) semasa siasatan dijalankan. ‘Public Hearing’ adalah penting untuk rakyat Pulau Pinang mengetahui pelbagai secara terus demi memulihkan kepercayaan terhadap jambatan kedua.

“Public Hearing penting kerana ini adalah projek di Pulau Pinang di mana kerajaan negeri telah meluluskan ‘Kebebasan Informasi Maklumat’. Kerajaan Persekutuan haruslah ‘masuk kampung, ikut adat’ dengan mematuhi semangat ‘FOI’,” tegasnya.

Beliau juga menggesa Najib dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof turun ke tapak kejadian dan bukan mengambil sikap lepas tangan.

“BN hanya pandai melaungkan slogan Rakyat Didahulukan pada pilihan raya saja, sebulan selepas pilihan raya, mereka lupa pelbagai janji dan melepaskan semua tanggungjawab.

“Mereka harus tahu seorang mangsa rakyat Malaysia iaitu Tajuddin Zainal Abidin telah meninggal dunia akibat tragedi itu,” ujarnya. -Roketkini