Berita

Tolak IPCMC punca jenayah semakin buruk: Tony Pua

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menganggap peningkatan kadar jenayah dalam negara berpunca daripada tindakan Barisan Nasional (BN) yang menolak cadangan agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Beliau berkata, IPCMC bertujuan untuk berurusan dengan aduan mengenai polis dan mencari jalan untuk meningkatkan tahap profesionalisme pasukan polis dan memastikan doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur dipatuhi dan diguna pihak polis.

“Jika BN masih lagi bermimpi memenangi semula sokongan penduduk bandar di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang, maka IPCMC perlu dilaksanakan untuk mengelak kemerosotan dalam menangani jenayah, politik berterusan pasukan polis adalah halangan untuk BN sendiri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau merujuk kejadian rompakan terbuka di restoran steamboat, Cheras, Sabtu lalu, mengakibatkan 70 orang awam menjadi mangsa kepada sekumpulan 10 individu bersenjatakan parang dan batang besi.

Menurut Pua, rompakan itu menjadikan jenayah negara mencatat rekod terendah terbaru dengan pihak polis sudah menerima empat laporan kes sedemikian di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling dalam tempoh dua minggu.

“Rompakan secara terbuka ini menjunamkan kadar jenayah negara ke tahap baru, yang mana lebih buruk daripada sebelumnya.

“Kita tidak bercakap mengenai rompakan bersenjata di jalan belakang yang gelap dan terpencil. Kita kini melihat rompakan bersenjata terang-terangan di restoran terbuka yang dipenuhi ramai orang,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Menurut beliau, peningkatan kadar jenayah ini juga telah mengurang persepsi rakyat terhadap polis serta mewujudkan tiga kali ganda krisis keyakinan dan kredibiliti pasukan berkenaan.

Kegagalan pertama pasukan keselamatan itu adalah membanteras jenayah dan tugas penting bagi memastikan rakyat Malaysia tidak bimbang mengenai nyawa dan harta benda mereka.

Beliau turut mengecam anggota polis kerana terlalu tumpu memburu pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya menjaga keselamatan orang awam daripada belenggu jenayah.

“Pihak polis melancarkan operasi besar-besaran ke atas pimpinan PR dan beberapa ahli Parlimen didakwa melakukan hasutan kononya cuba mengadakan perhimpunan besar-besaran di jalanan tanpa memaklumkan kepada mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyelar gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya masyarakat bersatu dalam memerangi jenayah dengan memasang lebih banyak televisyen litar dan mengupah lebih ramai pengawal keselamatan seperti mana dilaporkan Bernama baru-baru ini.

“Walaupun tindakan tambahan di atas boleh membantu mengurangkan jenayah, tanggungjawab memerangi jenayah, seperti rompakan ganas dan keterlaluan secara terbuka di restoran, hanya boleh dikendalikan pihak polis.

“Perdana Menteri sudah tentu tidak meminta semua rakyat Malaysia berhenti makan di luar atau semua restoran, besar dan kecil, memasang CCTV dan mengupah pengawal keselamatan. Atau lebih teruk lagi, semua rakyat perlu tinggal di rumah pada waktu malam supaya mereka tidak dirompak di kedai makan,” sindir Pua. -Roketkini.com