Berita

Mahathir, Muhyiddin, Wan Ahmad bersaing raih anugerah “Kenyataan Politik Paling Aib”

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, anugerah “Kenyataan Politik Paling Aib” bagi bulan ini menjadi rebutan tiga pesaing iaitu Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Katanya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mempertikaikan mengapa beliau dan Pengerusi SPR perlu meletakkan jawatan sedangkan mengadakan pilihan raya walaupun gagal memenuhi kriteria asas sebagai pilihan raya yang bersih, bebas dan adil sehingga buat pertama kali dalam sejarah tempoh 56 tahun negara rakyat meragui kesahihan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengancam kerajaan minoriti 47% BN akan menghukum dan mendiskriminasi majoriti 51% pengundi yang menyokong Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memberi kelebihan kepada minoriti 47% yang menyokong BN dan Datuk Seri Najib Razak.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada Najib dan Kerajaan BN adalah Perdana Menteri dan kerajaan untuk cuma 47% rakyat Malaysia atau untuk semua rakyat Malaysia.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan rasisnya yang terkini mendakwa keputusan PRU-13 adalah bukti kaum Cina di Malaysia hendak menghapuskan kuasa politik Melayu dan mendominasi politik Malaysia. Ini menunjukkan sejauh mana beliau sanggup berbohong dan melakukan perkara keji untuk menjayakan matlamat perkaumannya,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang berkata, juri masih belum dapat membuat keputusan siapa di antara mereka bertiga yang berhak meraih anugerah “Kenyataan Politik Paling Aib” kerana kenyataan berkenaan hampir sama mengejutkan dan jauh daripada kebenaran.

Menurutnya, ketiga-tiga kenyataan itu juga adalah sentimen umum di kalangan rakyat yang rasional dan patriotik serta meminggirkan Impian Malaysia yang menyatukan bangsa Malaysia yang patriotik, khususnya generasi muda.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, anugerah “Kenyataan Politik Paling Aib” untuk bulan lalu dengan mudah dimenangi Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang memberitahu rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya negara ini agar “berpindah ke negara lain”.

“Bayangkan seorang menteri dalam sebuah kerajaan yang hanya mendapat 47% undi begitu tebal mukanya hingga sanggup menyuruh 51% pengundi dalam negara ini “berpindah ke negara lain” sedangkan Ahmad Zahid yang sepatutnya “berpindah”,” katanya.-Roketkini.com