Berita

Pengisytiharan Najib perangi jenayah dianggap terlewat

KOTA BHARU, 12 JUN: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengisytiharkan perang terhadap jenayah tiga hari lalu dianggap terlewat kerana ia sepatutnya dilakukan sejak empat tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata tambahan pula rakyat sudah mempamerkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kegagalan Najib menangani masalah jenayah itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Katanya, tiada gunanya Barisan Nasional (BN) dan pihak atasan polis mendakwa kadar jenayah telah turun berikutan Program Transformasi Kerajaan sedangkan dalam tempoh empat tahun yang lalu rakyat Malaysia dihantui dan dihantui kebimbangan akan berlakunya jenayah.

“Orang awam tidak yakin dengan statistik pihak polis yang mendakwa kadar jenayah telah turun sebab itu ramai rakyat Malaysia mengelak daripada membuat laporan polis walaupun mereka menjadi mangsa jenayah berikutan kesukaran yang perlu mereka lalui untuk membuat laporan, selain merasa sia-sia membuat laporan polis.

“Akibatnya, rakyat Malaysia yakin kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai meningkat tinggi sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pengisyitharan Najib untuk memerangi jenayah tiga hari lalu telah dicemari beberapa jenayah yang baru-baru ini dilakukan secara terang-terangan.

Contohnya, katanya, di Taman Taynton View, Cheras, beberapa penjenayah bertindak ganas merompak pelanggan dan pemilik sebuah restoran makanan laut berjaya melarikan diri dengan RM4,000 wang tunai daripada laci dan RM16,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan berharga milik pelanggan restoran berkenaan.

“Selain itu kereta dua wanita telah dirompak di Petaling Jaya dan seorang daripada mereka bernasib baik berjaya mengelak daripada dirogol. Di Kelantan juga orang ramai rasa tidak selamat akibat peningkatan kejadian jenayah,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia mahukan budaya “toleransi sifar terhadap jenayah” di semua peringkat kerajaan, bukannya ikrar kosong “perang menentang jenayah”, Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri yang paling “politikal”.

Beliau berkata, persoalannya, mampukah Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara mengungkapkan secara jelas kepada orang ramai dan penjenayah sikap “toleransi sifar terhadap jenayah,” memandangkan ini adalah langkah pertama untuk memenangi perang terhadap jenayah dan membendung kebimbangan orang ramai terhadap kejadian jenayah.-Roketkini.com