Berita

Pesta Hari Alam Sekitar Sedunia Pulau Pinang 16 Jun

GEORGE TOWN, 13 JUN: Demi memastikan Pulau Pinang ‘Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’, Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan penganjuran Pesta Hari Alam Sekitar Sedunia pada 16 Jun ini, bertempat di Lebuh Pantai mulai jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Pesta bertemakan ‘fikir, makan dan simpan’ itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai pembuangan sisa makanan berlebihan yang semakin berleluasa di Malaysia dan seluruh dunia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, makanan berlebihan yang dibuang kini mencecah sehingga 930 tan sehari iaitu bersamaan dengan membuang 93,000 kampit beras seberat 10 kilogram sehari.

“Pembaziran makanan yang belum habis di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun, tidak termasuk sisa makanan. Sisa belum habis kebanyakannya terdiri daripada roti tamat tempoh, telur dan buah-buahan yang lama atau busuk.

“Di Malaysia sebanyak 48 peratus daripada 25,000 tan sisa pepejal adalah sisa makanan. Di Pulau Pinang pula, sebanyak 355,000 kilogram makanan dibuang setiap hari tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Guan Eng, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), dianggarkan sejumlah 1.3 bilion tan makanan dibazirkan setiap tahun bersamaan jumlah penghasilan makanan di seluruh Sub-Sahara Afrika.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri Pulau Pinang dengan inisiatif Majlis Hijau Pulau Pinang (PGC) menggalak keutamaan diberi bagi semua pembelian kerajaan kepada produk kertas kitar semula sebagai langkah membantu industri hijau.

Pada pesta itu Pemegang Kad Hijau Pulau Pinang boleh mendapatkan baju edisi terhad ‘WED’ dengan harga ahli RM20.

Orang ramai juga akan diberi penanda buku khas dan akan disajikan dengan beberapa aktiviti serta persembahan yang menarik berkaitan alam sekitar.-Roketkini.com