PETALING JAYA, 21 JUN: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhenti dari terus memberi alasan terhadap peningkatan kadar jenayah negara.
Menurut beliau, KDN dan PDRM seharusnya melaksanakan langkah yang sewajarnya untuk meningkatkan keberkesanan dan profesionalisme pasukan polis seperti menyahut saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja jika benar mahu menangani jenayah.
“RCI pada tahun 2005 telah mencadangkan supaya kira-kira 20,000 anggota beruniform dan 22 peratus dari tenaga polis ditugaskan untuk kembali kepada teras aktif kerja kepolisan, malangnya cadangan ini tidak pernah diambil serius oleh KDN.
“Polis sehingga hari ini masih gagal memberikan bukti yang kukuh disebalik kelemahan mereka dalam memerangi jenayah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam sebuah kenyataan media hari ini.
Pua turut menyelar tindakan PDRM yang menyalahkan pemansuhan Ordinan Darurat sebagai alasan terhadap peningkatan aktiviti jenayah.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kita telah mendengar beberapa pegawai polis di menyatakan bahawa salah satu sebab utama meningkatnya kadar jenayah adalah kerana pemansuhan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) pada September 2011.
“The Malaysian Insider semalam melaporkan seorang Pegawai Polis Kanan Persekutuan yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad (RRA) 1933 sangat berguna kepada penjenayah tegar dan sindiket.
“Lebih mengejutkan polis memberitahu mereka tidak dapat memerangi jenayah jika tidak ada penahanan tanpa bicara. Adakah polis begitu cekap sehingga tidak perlu menyiasat dengan segala bukti yang diperlukan untuk membawa penjenayah ke mahkamah dan dihukum melalui undang-undang?,” tempelaknya.
Katanya, mana-mana negara yang dikategorikan antara paling selamat di dunia tidak pernah menggunakan ‘penahanan tanpa bicara’ untuk membasmi jenayah.
“Di bandar-bandar selamat seperti Hong Kong, Tokyo, London atau Singapura, tidak ada satu pun dari negara-negara ini menggunakan ‘penahanan tanpa bicara’ untuk memastikan kadar jenayah rendah.
“Malah Jabatan Siasatan Jenayah mereka dapat menahan dan mendakwa para penjenayah melalui siasatan dan keterangan. Kenapa polis Malaysia tidak dapat melakukan perkara yang sama? Adakah polis Malaysia mendakwa penjenayah kita begitu bijak dan sangat teratur dalam aktiviti-aktiviti mereka sehingga berjaya mengelak dari pengesanan dan pendakwaan?,” soalnya. – Roketkini.com