Rencana

Jerebu dan Politik Baru Oleh Mahdzir Ibrahim

BAHANA atau malapetaka sama ada yang berhubung kait dengan alam sekitar atau pun keselamatan awam, kadangkala akan hanya menjadi polemik di media-media massa dan retorik bagi sesetengah parti atau orang politik.

Apabila jerebu terjadi, semua pihak akan menjadi begitu prihatin dan proaktif sekali. Isu ini akan membuatkan semua pihak bekerjasama memberi bantuan atau pandangan untuk menyelesaikannya. Ianya sangat baik, tetapi malangnya bersifat sementara sahaja.

Berbanding dengan isu atau kes-kes lain, yang mana kesannya juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada kualiti hidup kita, tidak pula kita beri perhatian sehebat jerebu.

Sebagai contoh isu Lynas – kilang pemprosesan sisa nadir bumi di Pahang, nampaknya menjadi isu satu pihak sahaja. Masyarakat umum dan kerajaan tidak begitu mengambil endah atas kempen-kempen yang dijalankan, ia dilayan sebagai isu NGO atau parti pembangkang sahaja.

Isu pembalakan di Sarawak, juga kelihatan menjadi isu satu pihak sahaja, seolah-olah isu ini menjadi terlalu eksklusif bagi rakyat biasa dan amat sensitif bagi kerajaan. Begitu juga dengan isu hutan simpan di Selangor, ia tidak dilihat sebagai keperluan umum yang penting. Apatah lagi isu hidupan marin di Pengerang dan isu nelayan atau paya bakau di Tanjong Piai. Semua ini hanya menjadi isu terpencil dan terpisah-pisah.

Hanya apabila berlaku sesuatu kes, maka kita semua akan bertindak berdasarkan kes yang berlaku, bukan meneliti punca bagaimana kes-kes sedemikian terjadi dan berulang-ulang.

Apabila hutan di Sarawak dah gondol baru nak bertindak, apabila kawasan tadahan hujan habis, maka kita akan bertindak, apabila hidupan marin, nelayan dan bakau pupus maka kita akan lancarkan usaha pemulihannya.

Inilah cara kita yang mana ia dipercayai berpunca dari amalan politik kita sendiri yang menangani isu hanya pada aspek permukaan, bukan secara dasar dan bersama.

Sebagai contoh lain dari isu alam sekitar; antaranya isu permit individu teksi, isu sosioekonomi golongan nelayan pantai, isu perjanjian tenaga/IPP, isu harga kereta, isu konsesi Tol, isu hutang PTPTN, isu penambahbaikan agensi polis (IPCMC) dan isu reformasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Senario ini mendatangkan persoalan besar kepada kita, adakah politik kita yang kita anggap sudah maju ini hanya berkisar tentang pembangunan material sahaja? Atau politik kita hanya berkisar tentang isu birokrasi agensi? Atau hanya isu persepsi politik semata-mata?

Sebelum era ini, kaedah politik ‘first past the post’ itulah yang terbaik kerana sebelum ini kuasa BN seakan tidak mungkin dapat dicabar oleh pembangkang.

Tetapi kini, dimensi politik kita sudah berubah. Sudah dua kali pilihanraya, BN gagal mendapat kuasa majoriti dua pertiga. Maka politik sedemikian harus segera berganjak kepada politik perundingan kuasa, bukan lagi berdasarkan pembuat keputusan hanya dari sebelah pihak yang berkuasa.

Sebagai contoh, isu perlantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sejajar dengan persepsi bahawa politik kita sudah maju, adalah wajar jawatan penting tersebut dirunding diantara dua blok politik (PR dan BN), bukan diundi sebagaimana saranan Liew Chin Tong baru-baru ini. Kerana kita menyedari bahawa dengan mekanisme undi sahaja, maka jelaslah bahawa calon Speaker yang akan menang adalah dari BN, bukan dar PR. Maka tidak wujud elemen politik baru disini.

Ini salah satu contoh bagaimana politik baru boleh membantu menyelesaikan masalah lain seperti  kes jerebu, alam sekitar dan segala isu yang melibatkan kepentingan rakyat. Ia mesti dirunding dan diselesaikan secara bersama, oleh semua pihak.

Dalam menangani pelbagai kes-kes yang sukar, yang memerlukan pembentukan sebuah jawatankuasa khas, kerajaan sewajarnya meletakan wakil dari semua pihak, oposisi mahupun NGO dan professional. Sekurang-kurangnya, langkah ini paling cepat untuk mengadaptasi budaya politik yang baru menggantikan politik ‘kerajaan serba tahu’.

Kesimpulannya, demokrasi itu sendiri adalah untuk memastikan suara pihak minoriti (selain daripada kerajaan minoriti BN) dapat didengar dan dipertimbangkan. Ini bukan isu Pakatan Rakyat atau NGO, ini adalah isu semua pihak – kita. – Roketkini.com