Berita

Lantik Mahathir penasihat PETRONAS, pajak lubuk minyak pada kroni?

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Penasihat PETRONAS sekarang hanya seorang individu iaitu bekas Perdana Menteri Tun Mahathir sedangkan peruntukan undang-undang jelas menyatakan supaya majlis penasihat ditubuhkan bagi menasihati Perdana Menteri berkenaan segala dasar, kepentingan dan semua perkara mengenai industri minyak negara ini.

Demikian pendedahan Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini memetik peruntukan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang nampaknya tidak dipedulikan kerajaan Barisan Nasional.

“Adakah majlis penasihat ini wujud, ditubuhkan dan atas peruntukan apa pula jawatan penasihat PETRONAS diberi kepada seorang individu sahaja, Mahathir Mohamad?,” soalnya.

Menjelaskan lanjut, Mohd Ariff menyatakan bahawa dalam Seksyen 5(1) Akta Pembangunan Petroleum menyatakan bahawa; Suatu Majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk mereka dari Negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Manakala dalam Seksyen 5(2) pula menetapkan; ‘Menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya’.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan tindakan kerajaan pimpinan Najib memajakkan sebuah kawasan minyak di Sarawak kepada sebuah syarikat swasta, Pexco.

“Syarikat ini ada kaitan dengan syarikat Usaha Tegas milik Ananda Krishnan, rakan baik kepada Tun Dr Mahathir,” jelasnya.

Lebih mengejutkan, Ariff berkata, Pexco yang didaftarkan di Belanda itu telah memperoleh konsesi seluas 25,000 kilometer per segi di perairan Bumi Kenyalang itu.

“Kita juga nak tahu adakah Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memberi kepada individu atau syarikat lain selain dari PETRONAS dan adakah beliau telah membuat ‘perjanjian sulit’ yang tidak dihebohkan kepada orang ramai?,” soalnya.

Beliau menambah, syarikat itu telah pun memulakan kerja cari gali minyak pada 4 Mei lalu dan akan berterusan sehingga 80 hari.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja kamarul Baharin dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

Kedua-dua mereka dalam nada yang sama turut mendesak agar Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan semua persoalan yang telah dibangkitkan. – Roketkini.com