Berita

Zahid Hamidi dan Khalid Abu Bakar mesti mohon maaf pada keluarga Kugan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar memohon maaf kepada keluarga A Kugan secara terbuka dan segera kerana kesilapan mereka hingga menyebabkan kematiannya.

“Kemenangan keluarga mangsa kematian dalam tahahan, Kugan merupakan kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, kami menuntut Zahid dan Khalid Abu Bakar yang ketika itu masih lagi berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor menyatakan permohonan maaf kepada keluarga mangsa sesegera mungkin dan secara terbuka.

“Permohonan maaf ini perlu dilakukan kerana kesilapan mereka memenjara Kugan, melanggar etika tugas penjagaan, menyalahgunakan perintah reman dan usaha menutup kematian seperti yang diputuskan oleh hakim, VT Singham,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Malah, menurut Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP, Khalid juga harus serta merta meletakkan jawatannya kerana sanggup menipu untuk menutup kes kematian Kugan sebelum ini.

“Jika Khalid adalah seorang yang berhati mulia, beliau harus segera meletakkan jawatan sebagai KPN.

“Demi untuk menutup kematian Kugan, beliau sanggup mendakwa kematian Kugan adalah akibat sakit pengumpulan cecair dalam paru-paru (Pulmonary Edema) walaupun laporan bedah siasat kedua menunjukkan bukti sebaliknya iaitu akibat kegagalan buah pinggang akibat dipukul.

“Beliau juga gagal untuk menyiasat V Navindran atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau membunuh di bawah Seksyen 304. Khalid perlu bertanggungjawab kerana menjadi penyebab orang yang membunuh Kugan sehingga hari ini masih bebas,” tegasnya.

Nie Ching turut mempersoalkan kredibiliti dan keupayaan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang sepatutnya bebas dan saksama untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

“Persoalan lain yang timbul kini, mengapa Peguam Negara tidak menegaskan akan menyiasat dan mendakwa V Navindran kerana membunuh atau melakukan pembunuhan? Apakah Peguam Negara juga terlibat dalam usaha untuk menutup kes kematian? Atau Peguam Negara mengalah kepada Khalid?,” soalnya. – Roketkini.com