Berita

Pengerusi SPR kena letak jawatan sebelum PRK Kuala Besut

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sudah sampai masanya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut diadakan kerana beliau didapati gagal mengurus selia Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan telus.

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, kewajaran Abdul Aziz meletakkan jawatan seiring dengan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyatakan barisan ahli lembaga SPR yang dilantik Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat keyakinan awam.

“Beliau kena letak jawatan supaya dengan kepimpinan baru, proses pilihan raya mendapat kepercayaan rakyat sekaligus dapat mengembalikan demokrasi di atas landasannya,” ujarnya.

Sambil menzahirkan rasa sedih di atas kematian Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, Kasthuri dalam masa yang sama mempertikaikan adakah SPR yang ditunjangi Abdul Aziz mampu berlaku telus dan adil pada PRK yang bakal diadakan nanti.

“Selepas pelbagai laporan penipuan, tidak adil dan tidak bebas dilemparkan terhadap SPR, adakah mereka mampu meraih keyakinan umum pada PRK Kuala Besut, di Terengganu nanti?,” katanya.

Menurutnya, semua protes dan perhimpunan aman yang diadakan di seluruh Malaysia sebelum ini adalah kerana kegagalan agensi itu melaksanakan pilihan raya secara adil, telus dan bersih.

Tambahnya, dengan pelbagai bukti ketempangan pengurusan SPR seperti isu dakwat kekal, pembelian undi, politik perkauman dan sebagainya,ia sudah cukup mewajarkan kepimpinan tertinggi SPR meletakkan jawatan.

“Lebih banyak persoalan yang timbul daripada jawapan pasti. Pengerusi SPR kata hanya Yang di Pertuan Agong yang boleh mengarahkan pihaknya meletakkan jawatan tapi apa yang beliau lupa, SPR juga perlu mendapat keyakinan orang awam.

“Bagaimana beliau boleh menjamin keyakinan pengundi di Kuala Besut bahawa proses demokrasi, kebebasan, adil dan telus pada PRK di sana nanti?,” ujar Kasthuri.

Selepas PRU-13 lalu, Barisan Nasional (BN) sendiri telah memfailkan 21 petisyen manakala Pakatan Rakyat (PR) memfailkan 25 petisyen pilihan raya di mahkamah. – Roketkini.com