Berita

DAP cadang letak SPAD bawah Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong mencadangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Pengangkutan.

Beliau juga menyarankan Menteri Pengangkutan menggubal Dasar Pengangkutan Nasional secepat mungkin dengan pengangkutan awam sebagai strategi utama.

Menurutnya, Malaysia telah menjadi bahan ketawa kerana negara hanya ada Dasar Automotif tetapi tidak ada Dasar Pengangkutan yang menyeluruh sebab itu sistem pengangkutan negara paling tidak efisyen di rantau ini.

“Kadar kematian jalan raya adalah paling tinggi di dunia sejak 1996 kerana sistem pengangkutan awam tidak berkesan dan rakyat terpaksa menggunakan motosikal sebagai mode pengangkutan utama.

“Selain itu, saya mencadangkan Kementerian Kewangan dan SPAD supaya konsesi teksi limosin lapangan terbang KLIA miliki syarikat Airport Limo (M) Sdn Bhd ditamatkan kerana tidak lagi relevan selepas SPAD membenarkan teksi bandar mengambil penumpang di KLIA,” katanya ketika membahaskan titah diraja, di Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) sebagai Menteri Pengangkutan dan menyokong keputusan SPAD membenarkan teksi bandar mengambil penumpang di KLIA selain membenarkan pemandu teksi limo KLIA mengambil pelanggan di mana saja dan bukan setakat di KLIA.

“Saya dimaklumkan kadar bayaran harian limo aiport RM153.69 manakala teksi bandar biasanya membayar hanya antara RM45 dan RM55 sehari. Ini bermakna pemandu limo terpaksa membuat lima perjalanan sehari dan setiap perjalanan mengambil masa dua jam, jadi pemandu terpaksa memandu sekurang-kurangnya 10 jam sehari untuk menampung bayaran sewa harian.

“Ini tidak menjamin pulangan kewangan pemandu, ia juga menjejaskan kesihatan pemandu dan boleh membahayakan nyawa penumpang serta keselamatan jalan raya secara amnya.

“Walaupun namanya “limo”, kereta yang diperuntukkan syarikat biasanya adalah Proton Persona 1.6 dan bukan kereta berenjin 2.0 dan ke atas. Dengan bayaran harian RM153.69, dalam masa lima tahun pemandu membayar kepada syarikat konsesi sebanyak RM270,000 untuk Proton Persona yang berharga RM40,000 (cukai percuma),” tambahnya.

Sehubungan itu, Chin Tong meminta Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membatalkan konsesi pegangan Airport Limo (M) Sdn Bhd.-Roketkini.com